PETALING JAYA – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memposisikan partinya sebagai pesaing politik kepada Pas, susulan ucapannya yang berharap parti Islam itu akan terbubar lantaran UMNO telah memasukkan Islam dalam perlembagaannya.
Penganalisis Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, langkah Zahid menekankan perkara tersebut adalah usaha UMNO untuk bersaing dengan Pas, dengan menarik sokongan pengundi atas pagar.
Menurutnya, pendekatan Pas sering dilihat ‘lebih konservatif’ dalam kalangan pengundi atas pagar.
“UMNO berpotensi menarik pengundi atas pagar jika berjaya membawa agenda Islam secara praktikal,” katanya dipetik portal berita FMT.
Mazlan mengulas kenyataan Zahid, yang berharap Pas akan terbubar selepas UMNO memasukkan agama Islam dalam perlembagaannya tahun 2019, pada penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia, semalam.
Zahid mendakwa, bekas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah berkata, Pas akan dibubarkan jika UMNO meletakkan Islam dalam perlembagaannya, yang mana Perhimpunan Agung UMNO pada tahun itu meluluskan usul pindaan perlembagaan yang antara lain meletakkan agama di hadapan, disusuli bangsa dan negara.
Ucapan itu muncul di kala UMNO bersiap sedia untuk perhimpunan agung tahun ini, ketika Ketua Pemudanya, Datuk Dr. Akmal Saleh menyatakan hasrat agar parti itu dan Pas dapat bersatu ‘demi penyatuan orang Melayu’.
Penganalisis Azeem Fazwan Ahmad Farouk dari Universiti Sains Malaysia bagaimanapun, menerangkan UMNO sememangnya menjadikan agama sebagai asas perjuangan parti itu sejak penubuhannya, namun dengan pendekatan berbeza.
“Perbezaan itu jelas dapat dilihat melalui pentadbiran negeri yang dikuasai Pas seperti Kelantan dan Kedah, berbanding negeri di bawah UMNO. Kaedah perjuangan UMNO dan Pas adalah berbeza,” katanya.
Realiti politik semasa bagaimanapun, menunjukkan Pas berada pada kedudukan lebih kukuh, tambahnya.
“Pas menguasai empat negeri dan mempunyai lebih banyak kerusi Parlimen berbanding UMNO,” katanya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L