Dari Meja Editorial
DALAM menilai kekuatan sesebuah parti politik, kesilapan paling lazim ialah mengukur kemenangan atau kekalahan semata-mata berdasarkan prestasi lawan. Parti yang kalah sering menuding jari kepada kehebatan pihak lawan, manakala parti yang menang pula diraikan seolah tidak mempunyai sebarang kelemahan. Hakikatnya, politik jauh lebih kompleks daripada itu.
Dalam banyak keadaan, kekalahan bukanlah kerana lawan terlalu kuat, tetapi kerana parti itu sendiri gagal mengurus kekuatan dalaman dan menutup kelemahan sedia ada.
Sejarah politik di Kelantan menjadi contoh paling jelas bagaimana sebuah parti boleh tewas bukan kerana tidak mampu menang, tetapi kerana seolah tidak mahu menang.
Sekitar awal tahun 2000-an, penulis pernah menulis beberapa analisis dan pandangan bagi menjelaskan landskap politik di Kelantan. Negeri ini bukan sekadar medan pertarungan antara Pas dan UMNO, tetapi juga sebuah “makmal politik” yang memperlihatkan bagaimana persepsi rakyat dibentuk oleh tingkah laku parti, bukan sekadar ideologi.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1990, Pas bersama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) mencipta kejutan besar dengan membolot hampir kesemua 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.
UMNO, yang sebelum itu merupakan kerajaan negeri, mengalami kekalahan teruk yang sukar diterima oleh akar umbi dan kepimpinan mereka sendiri. Kekalahan itu bukan sekadar kehilangan kuasa, tetapi satu tamparan psikologi kepada UMNO Kelantan.
Selepas PRU 1990, UMNO Kelantan menyusun pelbagai strategi untuk merampas kembali negeri tersebut pada PRU 1994/95. Jentera digerakkan, isu pembangunan dimainkan dan naratif bahawa Pas tidak mampu mentadbir negeri terus dicanangkan.
Namun, keputusan tetap sama. Pas kekal sebagai kerajaan negeri. Begitu juga pada PRU 1999/2000, ketika landskap politik nasional berubah akibat gelombang Reformasi, UMNO Kelantan masih gagal menumbangkan Pas.
Kekalahan demi kekalahan ini menimbulkan persoalan besar. Adakah Pas terlalu kuat atau UMNO Kelantan sebenarnya terlalu lemah?
Hasil dapatan dan analisis penulis ketika itu membawa kepada satu kesimpulan yang kontroversi. Kekalahan UMNO Kelantan bukanlah kerana Pas terlalu kuat, tetapi kerana UMNO Kelantan sendiri tidak berada dalam keadaan yang benar-benar mahu menang.
Kenyataan ini mengundang kecaman hebat daripada beberapa pihak dalam UMNO. Mereka menolak analisis tersebut dan berpegang kepada naratif bahawa Pas menang kerana sentimen agama, emosi rakyat atau kelemahan pusat membantu negeri.
Namun, penolakan ini sendiri menjadi bukti betapa sukarnya sesebuah parti menerima hakikat mengenai kelemahan dalaman mereka.
Hakikatnya, UMNO Kelantan mempunyai banyak kekuatan. Jaringan akar umbi yang luas, pengalaman mentadbir, sokongan kerajaan pusat serta sumber kewangan dan logistik yang jauh lebih besar berbanding Pas.
Secara teori, UMNO Kelantan mempunyai segala prasyarat untuk bangkit dan menang semula. Namun, kekuatan ini gagal diterjemahkan menjadi kelebihan politik kerana ia disabotaj oleh masalah dalaman yang berpanjangan.
Pergolakan dalaman UMNO Kelantan menjadi punca utama penolakan rakyat. Perebutan jawatan, politik cantas-mencantas, sabotaj sesama sendiri dan budaya “siapa orang siapa” mencipta imej parti yang tidak stabil dan tidak matang.
Rakyat Kelantan bukan menolak UMNO kerana ideologi semata-mata, tetapi kerana mereka muak melihat konflik dalaman yang berulang tanpa penyelesaian. Dalam politik, rakyat mungkin boleh memaafkan kelemahan dasar, tetapi jarang memaafkan perpecahan yang dipamerkan secara terbuka.
Pas pula bukan parti yang sempurna. Mereka juga mempunyai kelemahan dari sudut pentadbiran, ekonomi dan pembangunan. Namun, kelebihan Pas terletak pada disiplin parti dan keupayaan mengawal konflik dalaman.
Perbezaan pandangan dalam Pas jarang ditunjukkan kepada umum. Sebaliknya, ia diurus dalam kerangka kepatuhan kepada kepimpinan dan kesatuan jamaah. Disiplin inilah yang membina persepsi kestabilan di mata rakyat.
Dalam politik, persepsi sering lebih kuat daripada realiti. Contohnya, kes Kelantan mengajar kita satu hakikat penting, iaitu kekuatan sebenar sesebuah parti politik bukan terletak pada saiz, wang atau sejarah, tetapi pada keupayaan mengurus kelemahan dalaman.
Parti yang gagal mengenal dan mengakui kelemahannya akan terus kalah, walaupun memiliki segala kelebihan di atas kertas. Sebaliknya, parti yang mampu menutup kelemahan dan mengekalkan kesatuan dalaman mampu bertahan walaupun serba kekurangan.
Ungkapan bahawa sesebuah parti “tidak mahu menang” mungkin kedengaran keras, tetapi ia menggambarkan realiti politik dengan tepat. Parti yang lebih sibuk bergaduh sesama sendiri, menjaga kepentingan kelompok dan menafikan masalah dalaman sebenarnya sedang memilih untuk kalah.
Kekalahan itu bukan dipaksa oleh lawan, tetapi dicipta dari dalam. Justeru, rencana ini bukan untuk mengangkat mana-mana parti atau menjatuhkan yang lain, tetapi sebagai peringatan bahawa kekuatan tanpa muhasabah adalah kelemahan yang tertangguh.
Parti politik yang benar-benar mahu menang perlu berani mengakui kelemahan sendiri, bukan sekadar menyalahkan lawan. Dalam politik, kemenangan bukan hak mutlak sesiapa. Ia anugerah rakyat kepada parti yang paling bersedia, bersatu dan matang.
Sejarah Kelantan telah membuktikannya. Dan sejarah itu akan terus berulang, selagi parti politik gagal belajar daripada kesilapan mereka sendiri. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
