UiTM Seremban Anjur Program Usahawan Digital, Perkasa Kemahiran Keusahawanan Mahasiswa

Oleh: Nawwar Hafidz Rahimi

SEREMBAN – Kelab Prime Mover UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban menganjurkan Program Usahawan Digital di Dewan Tok Puan Sungei Ujong 2 baru-baru ini, bagi memupuk bakat keusahawanan digital dalam kalangan mahasiswa.

Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Maybank Islamic Finance dan Fakulti Perakaunan UiTM Cawangan Negeri Sembilan serta mendapat tajaan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) dengan tujuan memberi pendedahan praktikal kepada mahasiswa dalam menghadapi cabaran ekonomi digital yang semakin dinamik.

Kira-kira 200 mahasiswa UiTM Seremban dari pelbagai jurusan menyertai program tersebut yang memfokuskan pembangunan kemahiran pemasaran digital, pengurusan kewangan dan pembinaan rangkaian usahawan masa depan.

Program itu turut menampilkan penceramah jemputan, Siti Nur Suraya Mohamed Ali.

Menurut penganjur, peserta didedahkan kepada tiga modul utama, iaitu Modul Asas Perniagaan yang merangkumi minda keusahawanan, model perniagaan dan nilai cadangan; Modul Zero Marketing yang menekankan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam perniagaan termasuk penghasilan teks, imej dan video serta Modul TikTok untuk Menjana Kewangan yang memberi fokus kepada penjenamaan peribadi, pemasaran afiliasi serta garis panduan promosi.

Semua modul disampaikan secara teori dan praktikal melalui pendekatan hands-on yang membolehkan peserta berinteraksi secara berkumpulan.

Dalam Modul Asas Perniagaan, peserta ditugaskan membina perniagaan digital secara simulasi termasuk menyediakan latar belakang perniagaan dan menghasilkan logo menggunakan platform dalam talian.

Modul Zero Marketing pula memberi latihan praktikal menyunting video menggunakan peralatan AI seperti Gemini bagi menghasilkan kandungan promosi yang profesional dan kos efektif.

Peserta turut mempelajari cara mengintegrasikan AI untuk menjana teks, imej, lagu dan video pendek yang sesuai untuk platform media sosial seperti TikTok.

Sementara itu, Modul TikTok untuk Menjana Kewangan membantu peserta menggunakan aplikasi TikTok sebagai medium perniagaan secara efisien dan berkesan, termasuk menghasilkan lagu khas bagi tujuan promosi produk.

Sebagai acara kemuncak, peserta diberi peluang membentangkan projek perniagaan simulasi digital masing-masing di hadapan panel mentor dengan aktiviti itu bertujuan meningkatkan keyakinan diri, kemahiran komunikasi awam serta menguji kefahaman peserta terhadap modul yang dipelajari.

Pengarah Program, Muhamad Adib Abdullah berkata, program itu dilaksanakan dengan visi untuk melahirkan usahawan digital berpotensi tinggi dalam kalangan mahasiswa.

Sementara itu, Penasihat Kelab, Khairolizwan Harry, menyatakan sokongan penuh terhadap kelulusan dan kejayaan penganjuran program berkenaan.

Program Usahawan Digital ini dijangka mampu melahirkan usahawan pelajar yang berdaya saing serta menyumbang kepada kemampanan ekonomi negara melalui inovasi digital.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *