Siasatan Perolehan TDM: SPRM Sita Emas, Wang Tunai dan Kenderaan Bernilai RM6.9 Juta

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita sejumlah jongkong emas, wang tunai pelbagai mata wang asing serta sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) berprestasi tinggi dengan nilaian keseluruhannya kira-kira RM6.9 juta, dalam siasatan kes rasuah membabitkan perolehan projek Tentera Darat Malaysia (TDM).

Menurut sumber, sitaan itu dilakukan hasil pemeriksaan ke atas sebuah SUV yang ditemui di sebuah bengkel sekitar Lembah Klang, dipercayai ditinggalkan bagi tujuan pembaikan.

“Hasil pemeriksaan menemukan tiga jongkong emas 999 seberat satu kilogram setiap satu dianggarkan bernilai RM1.8 juta, selain sembilan keping emas seberat 100 gram setiap satu dengan nilaian lebih RM500,000.

“Turut ditemui wang tunai dalam pelbagai mata wang asing termasuk Dolar Amerika Syarikat, Euro, Pound Sterling, Yen Jepun dan Riyal Arab Saudi, serta sebuah SUV berprestasi tinggi bernilai kira-kira RM360,000,” katanya.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Zainul Darus mengesahkan sitaan berkenaan dan memaklumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009.

Beliau turut berkata, SPRM telah menyita enam akaun bank dipercayai milik seorang pegawai kanan TDM serta ahli keluarganya bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan rasuah dalam perolehan projek Tentera Darat.

Semalam, bekas Panglima Tentera Darat direman selama tujuh hari, manakala isteri pertama dan kedua beliau masing-masing direman tiga dan enam hari bagi membantu siasatan kes rasuah yang dipercayai melibatkan rangkaian kartel tender perolehan TDM.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *