NASA bawa pulang kru ISS lebih awal akibat masalah kesihatan serius

WASHINGTON – NASA mengumumkan misi empat angkasawan di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) akan ditamatkan sebulan lebih awal berikutan satu masalah kesihatan serius menimpa salah seorang kru.

Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) itu tidak mendedahkan identiti angkasawan berkenaan mahupun butiran lanjut mengenai keadaan kesihatannya atas faktor privasi, namun memaklumkan individu itu berada dalam keadaan stabil.

“Ini bukan pemindahan kecemasan,” kata seorang pegawai NASA.

“Kami sentiasa mengutamakan kesihatan angkasawan,” kata pegawai berkenaan.

Keputusan membawa pulang kru lebih awal diumumkan oleh Pentadbir NASA, Jared Isaacman, dalam sidang media semalam.

Ia merupakan kali pertama dalam sejarah lebih 20 tahun ISS beroperasi secara berterusan sejak tahun 2000, misi ditamatkan lebih awal kerana isu kesihatan.

Kru yang dikenali sebagai Crew-11 melibatkan dua daripada angkasawan NASA iaitu Zena Cardman dan Mike Fincke, Kimiya Yui dari Agensi Angkasa Jepun (JAXA), serta angkasawan Rusia, Oleg Platonov.

Mereka dilancarkan ke ISS pada Ogos tahun lalu menggunakan kapsul SpaceX Crew Dragon dan dijadualkan pulang sekitar bulan depan selepas digantikan oleh kru baharu.

Namun, pada Rabu, NASA secara tiba-tiba membatalkan aktiviti berjalan di angkasa yang dijadualkan berlangsung keesokan harinya, dengan alasan “kebimbangan perubatan”.

Menurut Dr. James Polk, Ketua Pegawai Perubatan NASA, ini adalah kali pertama dalam sejarah lebih 65 tahun agensi itu misi dipendekkan atas sebab kesihatan.

Beliau menegaskan, masalah kesihatan tersebut tidak berkaitan dengan operasi angkasa atau sebarang kecederaan.

ISS dilengkapi peralatan perubatan asas dan sistem komunikasi yang membolehkan doktor di bumi menjalankan konsultasi perubatan secara peribadi dengan angkasawan di orbit.

Dr. Simeon Barber dari Open University berkata, pemulangan awal kru mungkin menjejaskan beberapa eksperimen dan tugas penyelenggaraan sehingga kru baharu tiba bulan depan.

“Stesen angkasa ini memerlukan bilangan minimum kru untuk beroperasi dengan lancar,” katanya.

Seorang lagi angkasawan AS akan kekal di ISS bersama dua angkasawan Rusia bagi memastikan operasi asas stesen diteruskan sementara menunggu penggantian kru sepenuhnya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *