Bekas Panglima Tentera Darat Disiasat: SPRM Tahan Lima Individu Termasuk Dua Isteri

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperhebatkan siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM) apabila menahan lima individu, termasuk bekas Panglima Tentera Darat dan dua isterinya, bagi membantu siasatan kes berprofil tinggi itu.

Bekas panglima itu bersama kedua isterinya ditahan selepas selesai memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada kira-kira jam 7 malam tadi.

Selain mereka, satu lagi pasangan suami isteri turut ditahan lebih awal, dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan yang sama.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan semua individu terbabit dan memaklumkan pihaknya akan mengemukakan permohonan reman terhadap bekas Panglima Tentera Darat dan dua isterinya esok, manakala pasangan suami isteri yang ditahan sebelum ini telah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut.

Kes ini tertumpu kepada dakwaan penyelewengan dan rasuah berkaitan proses tender perolehan TDM, termasuk projek yang dilaksanakan melalui kaedah tender terbuka serta perolehan di bawah Pusat Tanggungjawab Tentera Darat.

Siasatan turut menjurus kepada kemungkinan wujudnya rangkaian kartel yang memanipulasi proses perolehan melibatkan syarikat-syarikat tertentu.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan, Panglima Tentera Darat telah diarahkan bercuti sementara siasatan dijalankan bagi memastikan proses siasatan berjalan secara bebas dan telus tanpa sebarang campur tangan.

Susulan perkembangan itu, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia, Leftenan Jeneral Datuk Azhan Md Othman, telah dilantik sebagai Panglima Tentera Darat ke-31 berkuat kuasa 1 Januari lalu bagi memastikan kesinambungan kepimpinan dan operasi TDM tidak terjejas.

Pada 23 Disember lalu, pegawai-pegawai SPRM dilaporkan hadir ke Kementerian Pertahanan bagi mengumpul maklumat dan dokumen berkaitan projek perolehan yang sedang disiasat. Tindakan itu menandakan fasa penting dalam siasatan melibatkan jumlah kontrak bernilai besar dan kepentingan strategik negara.

Dalam perkembangan berkaitan, SPRM sebelum ini turut menahan reman 17 pengarah syarikat yang disyaki terlibat dalam rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat.

Penahanan tersebut dipercayai mempunyai kaitan rapat dengan siasatan terhadap bekas Panglima Tentera Darat dan individu lain yang kini berada dalam tahanan.

SPRM menegaskan, komitmennya untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan profesional serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam amalan rasuah, tanpa mengira kedudukan atau pangkat.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *