KUALA LUMPUR 7 Jan. – Kee Ming Group Berhad (Kee Ming) memeterai perjanjian taja jamin dengan TA Securities Holdings Berhad (TA Securities) untuk menaja jamin sejumlah 24.38 juta saham baharu sebagai persediaan untuk tawaran awam permulaan (IPO) yang akan datang di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad (Bursa Securities).
IPO Kee Ming akan melibatkan terbitan 66.63 juta saham biasa baharu, mewakili kira-kira 20.5 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 325 juta saham biasa, berserta tawaran jualan 16.25 juta saham sedia ada, mewakili kira-kira lima peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan.
Ir. Liew Kar Hoe, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Pengarah Urusan Kee Ming Group Berhad, Ir. Liew Kar Hoe berkata, pemeteraian taja jamin ini merupakan satu lagi peristiwa penting dalam perjalanan Kee Ming ke arah menjadi syarikat tersenarai.
“IPO kami akan menyediakan sumber kewangan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan kami dan membolehkan kami menjalankan lebih banyak projek atau projek dengan nilai yang lebih tinggi yang menyokong pertumbuhan perindustrian dan peralihan tenaga bersih Malaysia,” katanya.
Setakat 31 Julai 2025, Kee Ming mempunyai sejumlah 50 projek yang sedang berjalan dengan jumlah nilai projek sebanyak RM218.6 juta dan jumlah buku pesanan tertunggak sebanyak RM142.2 juta.
Dengan penyenaraian akan datang di Pasaran ACE Bursa Securities, Kee Ming bersedia untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai penyedia penyelesaian kejuruteraan M&E dengan penglibatan dalam segmen tenaga bersih, dan untuk merebut peluang pertumbuhan yang didorong oleh pengembangan perindustrian Malaysia dan peralihan kepada penyelesaian tenaga lestari.
TA Securities Holdings Berhad ialah Penasihat Utama, Penaja, Ejen Penempatan Tunggal dan Penaja Jamin Tunggal untuk IPO ini, manakala Eco Asia Capital Advisory Sdn. Bhd. bertindak sebagai Penasihat Kewangan IPO tersebut.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L