PASIR MAS – Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkemungkinan dicalonkan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatan tersebut berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Perkembangan itu disokong kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menjelaskan, Perlembagaan PN tidak menetapkan jawatan Pengerusi perlu disandang oleh ketua parti komponen.
Menurut beliau, hanya jawatan Timbalan Pengerusi PN diperuntukkan untuk dilantik dalam kalangan ketua-ketua parti, manakala pelantikan Pengerusi tertakluk kepada perbincangan dan persetujuan dalam gabungan berkenaan.
“Dalam perlembagaan tidak ada menyatakan perkara itu. Cuma barangkali secara konvensyen difahami begitu dan ia tidak menjadi satu keperluan. Amalan itu bergantung kepada parti masing-masing.
“Jadi, saya rasa perkara ini masih di peringkat perbincangan dan saya berharap ia dapat diselesaikan mengikut lunas perlembagaan. Insya-Allah, kita yakin semua pihak sedang meneliti perkembangan semasa dalam PN,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, sama ada Menteri Besar Terengganu itu akan dilantik sebagai Pengerusi PN belum dimuktamadkan, namun Pas dijangka mengemukakan nama calon untuk dipertimbangkan.
Katanya, perkembangan tersebut juga menunjukkan PN kekal sebagai satu gabungan politik yang berpengaruh dan kebangkitannya terus diperhatikan.
Sebelum ini, media tempatan pada Selasa melaporkan, gambar pertemuan antara Muhyiddin dan Ahmad Samsuri yang disertakan dengan kapsyen “Alhamdulillah, insya-Allah”, sekali gus menguatkan spekulasi Ahmad Samsuri antara calon tersenarai bagi jawatan Pengerusi PN.
Foto berkenaan dimuat naik oleh Setiausaha Politik kepada Presiden Pas, Mohd Syahir Che Sulaiman, menerusi laman Facebook.
Bagaimanapun, Mohd Syahir kemudiannya menjelaskan, pertemuan itu diadakan atas mandat yang diberikan oleh Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan tidak seharusnya ditafsirkan sebagai pengesahan pelantikan mana-mana individu.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L