Sarawak negeri tertinggi terima guru baharu - Fadhlina

Komitmen Kerajaan Madani Perkukuh Kualiti Pendidikan Negara – KPM Sambut Baik Amanat Perdana Menteri

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) menyambut baik amanat tahun baharu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memperkukuh hala tuju negara, mempertingkat tadbir urus serta menekankan integriti dan kecekapan penjawat awam dengan kepentingan rakyat sebagai teras utama.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, penekanan Perdana Menteri terhadap usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan awam selari dengan aspirasi kementeriannya memastikan sistem pendidikan negara terus diperkasakan secara menyeluruh dan inklusif.

Menurut beliau, Perdana Menteri turut memberi fokus khusus kepada usaha meningkatkan akses pendidikan kepada semua murid, termasuk mempercepat pelaksanaan projek pembangunan semula sekolah daif di seluruh negara.

“Langkah ini dilihat penting bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, selesa dan kondusif untuk murid serta warga pendidik.

“Dalam aspek penyelenggaraan sekolah, Kerajaan Madani telah memperuntukkan dana yang signifikan bagi memastikan keperluan asas pendidikan dapat dipenuhi secara saksama.

“Antaranya, peruntukan sebanyak RM200 juta disediakan untuk Sekolah Agama, RM80 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan RM50 juta untuk Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT),” katanya menerusi posting di akaun Facebooknya.

Selain itu, menurut Fadhlina, kerajaan turut meneruskan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) sebanyak RM150 bagi setiap murid, melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM800 juta.

Bantuan itu, katanya, bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa dan penjaga dalam membuat persediaan awal persekolahan anak-anak.

“Mulai tahun 2025, pelaksanaan BAP turut diperluaskan kepada semua pelajar Tingkatan Enam, sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan kebajikan pelajar di semua peringkat pendidikan terus terbela.

“KPM juga mengalu-alukan keprihatinan Perdana Menteri terhadap keperluan meningkatkan bantuan kepada murid orang kurang upaya (OKU) serta pendidikan khas.

“Usaha ini sejajar dengan prinsip keadilan sosial yang menjadi tunjang kepada Kerajaan MADANI, agar tiada murid tercicir daripada arus pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, selaras dengan amanat Perdana Menteri, KPM beriltizam untuk terus bekerja keras dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara demi manfaat semua anak Malaysia.

Tegasnya, KPM akan terus memperkukuh dasar, pelaksanaan dan pemantauan program pendidikan agar matlamat melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia dapat direalisasikan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *