GEORGE TOWN – Orang ramai dinasihatkan berwaspada ketika melakukan aktiviti mandi laut di kawasan Tanjung Asam dan Teluk Bayu, Gertak Sanggul, susulan kehadiran ikan ketuka serta beberapa spesies hidupan laut berbisa lain yang dikesan aktif berhampiran pantai ketika air laut surut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Datuk Azrul Mahathir Aziz berkata, keadaan itu dijangka berlarutan sehingga Mac ini berikutan fenomena air laut yang surut jauh dari kebiasaan.
Menurut beliau, orang ramai khususnya pengunjung yang berhasrat untuk mandi-manda di kawasan pantai berair berlumpur dinasihatkan supaya mengelakkan aktiviti tersebut ketika air sedang surut.
“Bagi mereka yang hendak mandi di Tanjung Asam, Teluk Bayu atau kawasan laut yang berair berlumpur, saya minta agar lebih berhati-hati dan elakkan mandi ketika air surut kerana pada waktu itu ikan ketuka dan spesies hidupan laut berbisa lain sering berada berhampiran tepian pantai,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Nasihat itu dikeluarkan susulan kejadian seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang terpaksa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas disengat ikan ketuka, iaitu sejenis ikan pari bersaiz kecil, ketika mandi di Pantai Tanjung Asam pada petang Sabtu lalu.
Media sebelum ini melaporkan ibu mangsa, Siti Aishah Zainal Abidin, 37, berkata, anaknya Zaeed Khan Wazir Khan, tiba-tiba menjerit kesakitan ketika sedang mandi di pantai berkenaan.
Pada awalnya beliau menyangka anaknya terpijak batu tajam selepas melihat darah mengalir dari kaki kanan kanak-kanak itu.
Mangsa kemudiannya dibawa ke sebuah klinik berhampiran sebelum dinasihatkan oleh doktor untuk dirujuk segera ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Dalam pada itu, Azrul Mahathir turut menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa serta mendoakan agar Zaeed segera sembuh dan pulih sepenuhnya.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L