Jangan cetus spekulasi dalam isu garis panduan muslim di majlis non muslim

Hadiah Terbaik 2026 Untuk Menunaikan Janji Reformasi

Oleh: Dr Mujahid Yusof Rawa

SABTU lalu saya menghadiri perhimpunan Otai Reformasi dan hari ini saya mendengar ucapan tahun baru 2026 dari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saya menanti dengan debaran apakah ia ucapan yang hambar atau sesuatu yang layak mendapat perhatian.

Sejak hujung tahun 2025 lagi Datuk Seri Anwar telah membayangkan sesuatu yang lebih tegas akan dilakukan pada 2026 nanti.

Daripada pelbagai inisiatif 2026 yang diucapkan, perihal reformasi institusi kuasa dan keadilan mendapat perhatian tinggi saya.

Penyokong reformasi selama berbelas tahun mengharapkan reformasi institusi berlaku semasa PH1.0 tetapi apa yang mereka dapat adalah pengkhianatan Bersatu dan sebahagian anggota PKR sehingga membuka lembaran krisis politik yang menyaksikan tiga Perdana Menteri dalam tempoh satu penggal (2018-2022).

Usai PRU 15 setelah semua blok parti diberi peluang membentuk Kerajaan Perpaduan, sejarah gabungan besar blok politik dari PH+BN+GPS+GRS berlaku tanpa Perikatan Nasional (PN) yang secara sukarela menolak tawaran.

Tiga tahun berlalu, desakan reformasi institusi semakin kuat walaupun gabungan blok Kerajaan Perpaduan terdiri daripada latar ideologi dan sejarah yang berbeza.

Walaupun demikian, beberapa inisiatif di bawah kerangka Madani dibawa dalam menjayakan reformasi institusi, antaranya Akta Kebertanggungjawaban Fiskal, Akta Perolehan Kewangan dan Akta Audit yang semuanya tertumpu kepada membentuk ketahanan dan konsodilasi fiskal atau Reformasi Fiskal.

Di peringkat ekonomi konsep menaikkan siling dan menaikkan lantai menjadi asas kepada model ekonomi Madani manakala jaringan keselamatan sosial diperluaskan melalui SARA, STR, BUDI, dan Jualan Rahmah bagi meringankan kos sara hidup kepada yang memerlukan.

Pendekatan subsidi bersasar, penguatkuasaan berkesan, kawalan kebocoran dan ketirisan melalui sistem digital lebih efektif telah menyelamatkan RM15.5 bilion yang dipulangkan balik untuk kebajikan rakyat.

Ramai tidak sedar, semua dinyatakan di atas adalah sebahagian daripada pakej reformasi yang telah diusahakan oleh Kerajaan Madani di sebalik cabaran mengekalkan momentum perpaduan di kalangan blok berbeza dalam kerajaan.

Perdana Menteri berhadapan dengan tenang segala tekanan pihak pembangkang dalam partinya dan dari luar partinya sepanjang 2025.

Tahun 2026 seperti dimaklumkan lebih awal oleh Perdana Menteri adalah tahun ketegasan dan keberanian meletakkan asas-asas jangka panjang reformasi melalui pemisahan kuasa pendakwaan dan kuasa Peguam Negara.

Begitu juga satu akta mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun yang akan diperkenalkan pada sesi Parlimen Januari ini.

Dua akta ini menjadi mantra tuntutan reformasi ketika Malaysia berhadapan dengan salahguna kuasa dan campur tangan kehakiman yang berleluasa sebelum Kerajaan Perpaduan terbentuk.

Inilah reformasi institusi yang menjurus kepada memperbaiki sistem dan membentuk mekanisme perundangan yang kuat supaya salahguna kuasa tidak akan berlaku atau berulang lagi.

Semangat reformasi saya terangsang dengan pengumuman tahun baru Perdana Menteri kerana ia bukan sahaja layak diberi perhatian, tetapi satu bentuk iltizam melunaskan segala janji.

Semua ahli legaslatif sepatutnya teruja dengan pengumuman ini supaya sidang Parlimen Januari nanti dijadikan platform subur untuk berbahas dan berdebat serta mengkritik secara objektif perincian kedua-dua akta ini dengan niat menjayakan hasrat yang menjangkau kepentingan kepartian dan politik.

Janganlah perdebatan 2026 nanti menjadi ‘pasar borong’ yang hiruk pikuk hanya untuk memenangkan agenda sempit parti tetapi mengabaikan peluang untuk membaiki sistem negara, jangan lupa, rakyat memerhatikan kita!

Raikan pengumuman ini dengan semangat memperbaiki sistem supaya lebih baik.

Khusus kepada para reformis tulen kerana merekalah yang melihat sistem bernegara jangka panjang menjadi lebih baik dan bukan hanya melihat kemenangan jangka pendek walaupun terpaksa mengambil risiko yang tinggi ke arah kelangsungan mengekalkan kuasa.

Penulis, Senator Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa adalah Timbalan Presiden Amanah yang juga Ahli Dewan Negara

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *