KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) menegaskan pendirian tegas menyokong sepenuhnya Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus mentadbir negara sehingga tamat penggal Parlimen, selaras dengan mandat diberikan rakyat melalui Pilihan Raya Umum.
Ketetapan itu dicapai dalam Mesyuarat Biro Politik Amanah yang berlangsung petang ini, sekali gus memperlihatkan komitmen berterusan parti berkenaan sebagai salah satu komponen utama dalam Kerajaan Perpaduan.
Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, parti itu menegaskan, prinsip demokrasi mesti dihormati dan dipertahankan, khususnya hak rakyat memilih kerajaan melalui pilihan raya serta menolak sebarang percubaan menubuhkan kerajaan melalui jalan pintas atau yang sering digelar sebagai “pintu belakang”.
“Amanah turut menyatakan keyakinan terhadap hala tuju kepimpinan Perdana Menteri, khususnya susulan beberapa pengumuman penting yang dibuat Datuk Seri Anwar hari ini.
“Amanah berpandangan pengumuman itu mencerminkan usaha serius kerajaan untuk membina kekuatan baharu Malaysia, terutama dalam aspek reformasi institusi, penambahbaikan dasar kebajikan rakyat serta pelaksanaan strategi ekonomi lebih ampuh dan berdaya tahan.
“Langkah-langkah reformasi yang digerakkan kerajaan bukan sahaja penting untuk memperkukuh tadbir urus negara, malah menjadi asas kepada jaminan kesejahteraan hidup rakyat dalam jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menekankan, pendekatan ekonomi yang stabil dan inklusif adalah keperluan mendesak bagi memastikan negara terus berdaya saing di peringkat serantau dan global, di samping melindungi golongan rentan daripada tekanan kos sara hidup.
Sehubungan itu, Muhammad Faiz menyeru rakyat agar menilai prestasi, keupayaan serta komitmen sebenar Kerajaan Perpaduan berdasarkan dasar dan hasil dilaksanakan, bukan terpengaruh dengan naratif sempit berasaskan sentimen perkauman atau perpecahan.
“Permainan politik berteraskan kaum dan kebencian hanya akan merugikan negara serta menggugat usaha membina kestabilan dan perpaduan nasional.
“Dalam masa sama, semua parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan digesa agar terus memperkukuh kerjasama dan kesepaduan dalaman.
“Perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakan gabungan adalah kunci bagi memastikan kerajaan kekal stabil serta terus mendapat kepercayaan rakyat menjelang PRU akan datang,” ujar beliau.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001