Raja Haji Fisabilillah: Syuhada Teluk Ketapang – Sejarah Yang Bangkit Di Atas Pentas

Oleh: Manzaidi Mohd Amin

MALAM di Auditorium JKKN Perak seolah terbelah dua, antara masa kini dan abad ke-18. Cahaya lampu perlahan-lahan menyinari pentas dan dari ruang gelap itulah muncul semula sosok seorang pahlawan – Raja Haji Fisabilillah.

Dalam alunan muzik dan gema dialog yang berapi-api, sejarah yang lama terpendam kembali bernafas, dibangkitkan melalui pementasan teater “Raja Haji Fisabilillah – Syuhada Teluk Ketapang”.

Pementasan ini bukan sekadar sebuah karya seni persembahan. Ia adalah ziarah sejarah, sebuah pernyataan budaya dan suatu usaha mengembalikan maruah perjuangan bangsa ke dalam kesedaran masyarakat hari ini.

Kisah yang diangkat ialah kisah seorang pejuang Bugis yang menjadi benteng pertahanan dunia Melayu daripada kerakusan kuasa kolonial.

Raja Haji Fisabilillah merupakan tokoh besar dalam sejarah Kesultanan Johor-Riau-Lingga-Pahang. Baginda dilantik sebagai Yang Dipertuan Muda Riau ke-IV pada tahun 1777, meneruskan legasi kepemimpinan Bugis yang berakar daripada Opu Daeng Chelak.

Sebagai adinda kepada Sultan Selangor pertama, Sultan Salehuddin serta pakcik kepada Sultan Ibrahim Shah, Raja Haji bukan sahaja berdarah bangsawan, tetapi juga mewarisi semangat kepahlawanan yang tidak pernah tunduk kepada penjajah.

Baginda dikenali sebagai Raja Haji Marhum Teluk Ketapang dan di wilayah lain, namanya turut digelar sebagai Pangeran Sutawijaya oleh masyarakat Jambi, iaitu gelaran yang hanya diberikan kepada pemimpin berjiwa perang dan berwibawa tinggi. Keberanian dan kebijaksanaan baginda menjadikan Belanda sentiasa berada dalam keadaan tidak tenteram.

Naskhah teater ini menggarap dengan teliti detik-detik penting selepas kemangkatan Yang Dipertuan Muda Riau ke-III, Daeng Kemboja. Raja Haji Fisabilillah memerintah dengan ketegasan dan keadilan, membina pertahanan serta mengukuhkan kekuasaan di wilayah Riau.

Keupayaan baginda menggerunkan pihak Belanda sehingga mereka memilih jalan diplomasi, satu perjanjian damai yang dimeterai pada tahun 1780.

Perjanjian tersebut, yang mengandungi 12 fasal, kononnya bertujuan menjamin keselamatan dan persahabatan antara Kompeni Belanda dan Kerajaan Riau.

Namun, di sebalik dakwat yang mengering, tersimpan niat licik penjajah. Apabila kapal Inggeris ditangkap, hasil rampasan tidak dibahagikan seperti yang dijanjikan. Alasan Belanda mudah dan angkuh, pembahagian hanya berlaku jika operasi dilakukan bersama.

Di sinilah bermulanya bara kemarahan seorang pejuang. Dalam satu adegan yang menjadi kemuncak emosi pementasan, Raja Haji Fisabilillah mengoyakkan surat perjanjian di hadapan Gabenor Melaka, Pieter Jacob Van Braam. Adegan ini bukan sahaja mencerminkan kemarahan, tetapi juga penolakan terhadap penindasan dan tipu daya penjajah.

Ketegangan segera bertukar menjadi peperangan. Raja Haji Fisabilillah mengarahkan Arung Mendara dan para panglima untuk memperkukuh pertahanan dan mempersiapkan kelengkapan perang. Kubu-kubu dibina di lokasi strategik dan seluruh rakyat Riau bangkit bersama pemimpin mereka.

Apabila armada Belanda yang dipimpin Laksamana Jacob Pieter van Braam memasuki perairan Riau, langit dan laut menjadi saksi pertarungan sengit. Bunyi meriam, istinggar, terakul dan pemuras bersahut-sahutan, menggoncang alam dan jiwa.

Teater ini berjaya menterjemahkan kekacauan perang itu ke atas pentas. Gerak tubuh pelakon, tata cahaya dan irama bunyi membentuk suasana yang menggugah emosi penonton.

Belanda gagal menembusi pusat pertahanan Raja Haji. Kapal Malaka’s Welvaren musnah ditembak, dan pihak penjajah terpaksa berundur ke Melaka dengan dendam yang tidak terpadam.

Kisah tidak berakhir di situ. Sultan Selangor, Sultan Ibrahim Shah, anak saudara Raja Haji, tiba di Riau untuk memohon bantuan. Selangor ketika itu turut disokong pasukan dari Rembau dan Linggi bagi melancarkan serangan ke atas Belanda di Melaka. Tanpa ragu, Raja Haji Fisabilillah menyahut seruan jihad.

Pasukan Raja Haji bergerak bersama kapal ‘Bulang Linggi’ dan berkubu di Teluk Ketapang. Namun, pengkhianatan berlaku. Lokasi kubu diketahui Belanda hasil maklumat mata-mata upahan. Serangan dilancarkan dengan kejam dan terancang.

Dalam adegan paling hening dan menggetarkan jiwa, Raja Haji Fisabilillah gugur sebagai syuhada—tangan kanannya menggenggam kitab, tangan kirinya memegang badik. Satu simbol agung tentang keseimbangan antara iman dan perjuangan, antara ilmu dan keberanian.

Pementasan yang berlangsung pada 27 dan 28 Disember 2025, jam 8.45 malam, di Auditorium JKKN Perak ini mencatat kejayaan besar apabila kedua-dua malam dipenuhi penonton.

Dengan harga tiket RM15, sambutan full house membuktikan bahawa teater sejarah masih relevan dan mampu menyentuh jiwa masyarakat.

Diterajui oleh Razali Hussain selaku penerbit dan Pengarah Urusan Arena Pinang Sdn. Bhd., diarahkan oleh Ard Omar serta ditulis oleh Hazzley Abu Bakar, karya ini dipersembahkan dengan disiplin dan dedikasi tinggi. Razman Mahayuddin menggalas watak Raja Haji Fisabilillah dengan penuh wibawa, manakala Faha Azhar sebagai Toger Aboe memperkukuh dinamika dramatik pementasan.

Walaupun berdepan cabaran besar, kekangan masa persiapan hanya sebulan, produksi ini berjaya direalisasikan dengan sokongan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan 2025 (GSSK2025) daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), serta kerjasama strategik Persatuan Teater & Teknikal Pentas Perak (STEPS) dan Pertubuhan Pembangunan Ehsan dan Multimedia.

Majlis pementasan turut diserikan dengan kehadiran tokoh-tokoh seni tanah air seperti Zaidi Omar, Roslan Madun, Raja Azrey, penerbit teater tersohor Rohaya Atan, serta wakil Dewan Bahasa dan Pustaka, Encik Aris.

“Raja Haji Fisabilillah – Syuhada Teluk Ketapang” bukan sekadar pementasan dua malam. Ia adalah peringatan bahawa kemerdekaan dan maruah bangsa tidak hadir tanpa darah dan air mata. Melalui seni teater, kisah ini diwariskan semula—agar nama Raja Haji Fisabilillah terus hidup, bukan hanya di batu nisan Pulau Penyengat, tetapi di hati generasi hari ini dan akan datang.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *