Pas Disamakan Dengan ‘Akademi Fantasia’, Gagal Namakan Pengerusi PN – Faiz Fadzil

SHAH ALAM – Polemik dalaman Perikatan Nasional (PN) terus menjadi perhatian apabila Pas belum menamakan calon Pengerusi gabungan itu bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil menyifatkan situasi tersebut ibarat program realiti televisyen Akademi Fantasia yang penuh teka-teki, apabila rakyat dibiarkan menunggu tanpa kepastian mengenai kepimpinan tertinggi PN.

Menurut beliau, dalam amalan politik yang lazim, Presiden parti utama seharusnya mengetuai sesuatu pakatan dan seterusnya dinamakan sebagai calon Perdana Menteri.

“Kegagalan Pas menamakan calon Pengerusi PN jelas menunjukkan kelemahan kepimpinan parti itu dalam mengurus sebuah gabungan besar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Faiz turut mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin sebelum ini yang mendakwa terdapat ramai calon berpotensi untuk diangkat sebagai Perdana Menteri, namun sehingga kini parti itu masih gagal membuat keputusan yang jelas.

“Walaupun kononnya ada calon Perdana Menteri sehingga ‘empat lori’, realitinya Pas masih tercari-cari dalam ketidaktentuan. Hakikatnya, Pas hanya kelihatan kuat dalam lingkungan parti sendiri, tetapi gagal memimpin sebuah pakatan,” katanya.

Mengulas aspek kestabilan politik, Faiz menegaskan, struktur pentadbiran negara memerlukan ketua parti untuk menerajui pakatan dan kerajaan bagi menjamin kelangsungan serta kestabilan pemerintahan.

Beliau mengambil contoh pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang disifatkan rapuh kerana Presiden parti ketika itu tidak terlibat secara langsung dalam kerajaan.

Sebaliknya, kerajaan Perpaduan hari ini dianggap lebih stabil apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menganggotai Jemaah Menteri sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Jika Pas terus gagal menamakan Presiden mereka sebagai Pengerusi PN, ia akan menjejaskan kestabilan PN sendiri dan memberi isyarat buruk kepada rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang,” ujarnya.

Dalam masa sama, Faiz menyatakan penghormatan beliau terhadap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan mengakui setakat ini tiada tokoh lain yang mampu menggantikan kedudukan beliau dalam parti itu.

Menurutnya, Pas sering menegaskan perjuangan mereka adalah untuk menegakkan Islam, justeru kepimpinan ulama seharusnya diteruskan.

“Pas tidak mempunyai tokoh ulama sehebat Tan Sri Abdul Hadi Awang. Walaupun isu pindaan Akta 355 kini seakan dilupakan, ia tetap merupakan gagasan beliau yang mencerminkan perjuangan Islam Pas,” katanya.

Beliau menambah, tindakan meminggirkan presiden bertaraf ulama itu akan menghilangkan makna perjuangan Islam yang sering dilaungkan oleh Pas.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *