Pegawai Khas MB Negeri Sembilan Digesa Mohon Maaf Selepas Gelar Anthony ‘Undang Kelima’

Oleh Siti Khadijah Manudin

SEREMBAN – Seorang pegawai khas kepada Menteri Besar Negeri Sembilan digesa membuat permohonan maaf secara terbuka selepas didakwa merujuk Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, sebagai “Undang Kelima”, satu gelaran yang dianggap menyentuh sensitiviti institusi adat Negeri Sembilan.

Ahli Jawatankuasa UMNO Negeri Sembilan, Saiful Yazan Sulaiman, berkata gelaran Undang tidak sepatutnya dijadikan bahan gurauan politik kerana mempunyai kedudukan, sejarah dan maruah tersendiri dalam sistem Adat Perpatih negeri itu.

Beliau mengulas sebuah video tular yang memaparkan seorang pegawai kerajaan negeri didakwa menggunakan istilah “Undang Kelima” ketika pelancaran jentera pilihan raya Pakatan Harapan Negeri Sembilan baru-baru ini. Menurutnya, tindakan tersebut menunjukkan kurangnya kepekaan terhadap institusi adat yang menjadi sebahagian penting identiti Negeri Sembilan.

Saiful turut menggesa Aminuddin Harun menyatakan pendirian berhubung isu berkenaan dan tidak memandang remeh perkara yang melibatkan maruah institusi Undang Yang Empat.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Mohamad Fadil Md Zin, turut mengecam kenyataan tersebut dan menyifatkannya sebagai tidak sopan serta tidak menghormati adat negeri.

Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan, Ahmad Shahir Mohd Shah, kemudiannya tampil memohon maaf kepada institusi Undang Yang Empat atas kenyataan yang dibuat secara berseloroh itu. Beliau mengakui kesilapan tersebut dan menegaskan bahawa Pakatan Harapan tetap menghormati serta menjunjung institusi adat Negeri Sembilan.

Siti Khadijah Manudin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *