Seni, Sastera dan Mahasiswa: Refleksi Dua Penuntut UPM dalam Bengkel Penulisan Teater Siri Ketiga

Oleh: Manzaidi Mohd Amin

BENGKEL Penulisan Skrip Teater Siri Ketiga anjuran PAKSI yang berlangsung di Kampung Raja, Kedah baru-baru ini adalah satu inisiatif seni dan pendidikan yang signifikan dalam usaha mempertemukan generasi muda dengan tradisi pemikiran, pengalaman serta amalan seni yang berakar dalam masyarakat.

Bengkel ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform latihan penulisan dan pengenalan kepada dunia teater, malah menjadi ruang pembinaan kesedaran intelektual, emosi dan nilai kemanusiaan dalam kalangan peserta.

Bagi dua mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) dari bidang Kesusasteraan Melayu, iaitu Nor Syuhada Namirah Othman dan Qurratul Aini Ahmad Adam, bengkel ini membawa makna lebih mendalam daripada sekadar penyertaan program.

Pengalaman dua hari dua malam di Kampung Raja, Tunjang telah membuka ruang refleksi mengenai peranan sastera, tanggungjawab mahasiswa serta hubungan antara seni, diri dan masyarakat.

Tulisan kolektif ini menghimpunkan pengalaman, pandangan dan renungan kedua-dua peserta berkenaan, dengan tujuan mendokumentasikan impak bengkel secara menyeluruh serta menampilkan suara mahasiswa sebagai penerima langsung manfaat program.

Sepanjang dua hari bengkel berlangsung dari 20 hingga 21 Disember 2025 (bengkel berlangsung tiga hari sehingga 22 Disember 2025), peserta didedahkan kepada perkongsian ilmu dari tokoh seni dan budaya yang berpengalaman luas dalam bidang teater, penulisan dan pemikiran.

Interaksi secara langsung ini memberi peluang kepada peserta untuk melihat seni bukan sekadar sebagai produk estetika, tetapi sebagai hasil pengalaman hidup, pemikiran kritis dan tanggungjawab sosial.

Bagi Nor Syuhada Namirah, pengalaman ini dimulakan dengan rasa syukur yang mendalam kerana diberi peluang menyertai bengkel. Beliau melihat bengkel ini sebagai satu ruang pembelajaran yang jarang diperoleh dalam konteks pendidikan formal di universiti.

Perkongsian ilmu bersifat terbuka dan jujur daripada para seniman telah memperluas pemahamannya mengenai dunia sastera dan teater yang sebenar, iaitu dunia yang hidup, berakar dalam realiti masyarakat dan tidak terpisah daripada persoalan nilai serta kemanusiaan.

Nor Syuhada menyedari, ucapan terima kasih sahaja tidak memadai untuk membalas jasa semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan bengkel ini.

Namun, melalui pengalaman ini, beliau mula melihat dirinya bukan sekadar sebagai pelajar yang menuntut ilmu, tetapi sebagai individu yang memikul tanggungjawab untuk menyampaikan ilmu dan kesedaran kepada masyarakat.

Salah satu kesedaran penting yang lahir daripada pengalaman Syuhada sepanjang bengkel ialah berkaitan stigma masyarakat terhadap bidang sastera. Beliau mengakui, masih wujud pandangan negatif yang menganggap sastera sebagai bidang yang tidak menjanjikan masa depan, membuang masa dan tidak relevan dengan keperluan semasa.

Namun, melalui perkongsian para seniman dan pemerhati budaya dalam bengkel ini, Syuhada semakin memahami, sastera sebenarnya mempunyai peranan besar dalam membentuk pemikiran, nilai dan akhlak masyarakat.

Sastera bukan sekadar bahan bacaan atau kajian akademik, tetapi medium pendidikan jiwa yang mampu membentuk manusia berfikir, beradab dan berempati.

Beliau turut mengaitkan peranan sastera dengan realiti sosial semasa, khususnya peningkatan kes jenayah dan keruntuhan akhlak dalam masyarakat. Pada pandangannya, penghayatan terhadap nilai sastera dan estetika berupaya menyumbang kepada usaha membina masyarakat lebih seimbang dari segi intelek dan moral.

Sehubungan itu, Syuhada menyuarakan keperluan untuk merombak pendekatan pendidikan sedia ada dengan memberi penekanan kepada pendidikan estetika berteraskan tauhid, sebagaimana pernah dihuraikan Mohd Affandi Hassan dalam karya Pendidikan Estetika dalam Pendekatan Tauhid.

Beliau yakin, usaha menghidupkan kembali sastera perlu bermula di peringkat sekolah, bukan hanya di universiti, agar generasi muda dapat dididik dengan nilai keindahan, adab dan pemikiran kritis sejak awal.

Selain membincangkan peranan sastera secara konseptual, bengkel ini turut memberi pendedahan praktikal kepada peserta. Bagi Syuhada, pendekatan ini sangat penting kerana ia membolehkan pelajar memahami sastera bukan hanya melalui teori, tetapi melalui pengalaman sebenar dalam proses kreatif dan persembahan.

Beliau juga berpendapat, bengkel seperti ini wajar dibuka secara meluas kepada golongan pelajar kerana mampu mencungkil bakat muda yang berpotensi menjadi pelapis dalam dunia seni sastera. Pendedahan awal ini juga dapat mengubah persepsi negatif terhadap sastera dan menanam minat yang lebih mendalam di kalangan generasi muda.

Melalui bengkel ini, Syuhada melihat sastera sebagai satu disiplin ilmu yang mendidik adab dalam berilmu, membentuk kehalusan rasa dan mengajar manusia memahami kehidupan secara lebih mendalam. Kesedaran ini menjadikan pengalaman bengkel tersebut sebagai titik penting dalam perjalanan akademik dan intelektualnya.

Pengalaman Qurratul Aini Ahmad Adam: Dari Zon Takut ke Zon Keberanian

Bagi Qurratul Aini, penyertaannya dalam Bengkel Penulisan Skrip Teater Siri Ketiga ini adalah satu pengalaman yang tidak pernah terlintas dalam fikirannya sebelum ini. Peluang untuk bertemu dan belajar secara langsung daripada seniman-seniman berpengalaman disifatkan sebagai satu rezeki yang sangat berharga.

Sepanjang bengkel berlangsung, Aini merasakan keterujaan yang luar biasa untuk menimba ilmu dan menerima nasihat yang tidak mungkin diperoleh daripada sembarangan individu. Kehadirannya dari hari pertama hingga hari terakhir membolehkan beliau mencipta pengalaman dan kenangan yang akan terus dikenang.

Beliau merakamkan penghargaan khusus kepada tokoh-tokoh seni dan penggerak bengkel seperti Pak Din, Pak Kassim, Uncle Razak, Dr. Fazilah, Teacher Sharifah, Cikgu Jamly, Uncle Manzaidi serta dua ahli J-KOM yang sentiasa mesra dan memberi inspirasi.

Pertemuan dengan seniman “super senior” ini dianggap sebagai peluang yang datang sekali seumur hidup dan amat merugikan sekiranya dilepaskan.

Salah satu impak paling ketara bengkel ini terhadap Aini ialah perubahan dari segi keyakinan diri. Sebagai seorang yang mengakui dirinya introvert, Aini tidak pernah menyangka dia mampu terlibat secara aktif dalam aktiviti teater dan berani tampil ke hadapan.

Malah, melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan, beliau diberi ruang untuk mengekspresikan diri tanpa terlalu memikirkan pandangan orang sekeliling. Pengalaman ini membuka kesedaran bahawa sifat introvert dan kecenderungan untuk overthinking perlu dibendung agar tidak menjadi penghalang kepada perkembangan diri.

Aini mengaitkan pengalaman ini dengan satu nasihat yang pernah diterimanya daripada seorang pensyarah, “pembuli sebenar bukanlah orang di luar, tetapi diri sendiri.”

Pesanan daripada Dr. Razak yang menyatakan “Don’t give a damn about being introvert” turut memberi kesan mendalam kepadanya. Bagi Aini, menjadi introvert bukanlah satu kelemahan, namun seseorang tetap perlu belajar untuk melakukan sesuatu dengan ikhlas dan berani dari hati.

Pengalaman terlibat dengan teater menjadikan beliau mula melihat seni sebagai sesuatu yang indah kerana mengandungi nilai akaliah dan hiburan yang seimbang.

Prinsip tak kenal maka tak cinta menjadi nyata apabila beliau sendiri mula mencintai seni setelah benar-benar mengenalinya melalui pengalaman langsung.

Selain pengisian ilmu dan aktiviti seni, lokasi bengkel di Kampung Raja, Kedah turut memainkan peranan penting dalam membentuk pengalaman peserta. Bagi Aini, ini merupakan kali pertama beliau menjejakkan kaki ke negeri Kedah dan menyaksikan keindahan alam desa yang amat memukau.

Suasana kampung yang tenang memberi peluang kepadanya untuk berehat seketika daripada kesibukan dan tekanan kehidupan bandar. Bagi seorang individu yang tidak mempunyai kampung halaman, pengalaman ini membawa makna yang tersendiri.

Kehidupan desa yang sederhana dan damai membuka ruang refleksi dan ketenangan jiwa yang jarang diperoleh dalam rutin harian.

Bagi kedua-dua peserta, persekitaran kampung bukan sekadar latar tempat, tetapi menjadi sebahagian daripada pengalaman pembelajaran yang menyeluruh. Alam dan komuniti setempat menjadi sumber inspirasi seni dan pemahaman mengenai kehidupan masyarakat sebenar.

Secara keseluruhannya, Bengkel Penulisan Skrip Teater Siri Ketiga anjuran PAKSI telah memberikan impak yang mendalam kepada para peserta, khususnya mahasiswa Kesusasteraan Melayu UPM.

Bengkel ini bukan sahaja memperkukuh pemahaman mengenai penulisan dan teater, malah menyemai kesedaran mengenai peranan seni dan sastera dalam pembinaan insan dan masyarakat.

Bagi Nor Syuhada Namirah, bengkel ini mengukuhkan keyakinannya terhadap nilai dan kepentingan sastera sebagai medium pendidikan dan pembentukan akhlak.

Bagi Qurratul Aini pula, bengkel ini menjadi titik perubahan dalam usaha mengenal diri, membina keberanian dan mencintai seni dengan lebih mendalam.

Pengalaman kolektif ini membuktikan bengkel seni yang dirancang secara holistik mampu menjadi platform pendidikan alternatif yang berkesan, merangkumi aspek intelektual, emosi, sosial dan spiritual.

Oleh itu, penganjuran bengkel seumpama ini wajar diteruskan dan diperluaskan agar lebih ramai generasi muda berpeluang merasai pengalaman yang sama, seterusnya menjadi pelapis yang berwibawa dalam dunia seni dan sastera tanah air. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *