Oleh NurFarhana Zulkeply
TOKYO – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo hari ini bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Jepun yang dijangka membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik antara kedua-dua negara, khususnya dalam bidang pelaburan, keselamatan tenaga dan pembangunan ekonomi.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau, Anwar berkata lawatan berkenaan merupakan sebahagian daripada misi Diplomasi MADANI yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Jepun serta meneroka peluang kerjasama baharu yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Menurut beliau, delegasi Malaysia akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi bagi membincangkan usaha memperluaskan kerjasama strategik dalam pelbagai sektor termasuk keterjaminan dan keselamatan tenaga.
“Dalam lawatan ini, saya akan mengetuai delegasi Malaysia dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Jepun bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka peluang baharu yang dapat memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya menerusi hantaran tersebut.
Selain pertemuan peringkat kerajaan, Anwar turut dijadual mengadakan sesi libat urus dengan pemimpin industri utama Jepun bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti ke Malaysia, sejajar usaha kerajaan memperkukuh pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi.
Lawatan rasmi itu turut dilihat sebagai platform penting untuk meningkatkan lagi hubungan Malaysia-Jepun yang kini berada di bawah Kerjasama Strategik Komprehensif (CSP), selain memperluaskan kerjasama dalam bidang ekonomi, sains, teknologi dan pembangunan kapasiti.
Dalam perkembangan berkaitan, lawatan Anwar dijangka menyaksikan beberapa pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan surat hasrat melibatkan sektor strategik seperti keselamatan serantau, penjagaan kesihatan, peralihan tenaga, alam sekitar serta pendidikan tinggi.
Anwar dalam hantaran sama berharap misi berkenaan dipermudah dan membawa manfaat besar kepada negara serta kesejahteraan rakyat Malaysia.
NurFarhana Zulkeply adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L