Oleh Fatin Sajidah Fathuldin
TOKYO – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa mahasiswa Malaysia yang menuntut di luar negara, khususnya di Jepun, supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang menimba pengalaman dan mempelajari nilai positif masyarakat setempat sebagai bekalan untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
Beliau berkata, kecemerlangan akademik semata-mata tidak mencukupi kerana pendidikan turut dibentuk melalui pengalaman hidup, budaya masyarakat dan sejarah sesebuah negara.
“Gunakan masa anda di sini dengan sebaik-baiknya kerana Jepun mempunyai banyak perkara yang boleh dipelajari dan ia juga akan mempengaruhi pemahaman kita mengenai konsep MADANI,” katanya bertajuk Nilai Kemanusiaan Dalam Peradaban Manusia-Mesin di University of Tokyo pada Selasa.
Menurut beliau, kemajuan teknologi perlu diseimbangkan dengan nilai kemanusiaan, etika dan belas ihsan bagi memastikan pembangunan yang dicapai memberi manfaat kepada masyarakat.
“Nilai-nilai ini memerlukan kemanusiaan dan belas ihsan, namun pada masa sama kita mesti cemerlang dalam ekonomi moden, teknologi baharu dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Anwar berkata, negara seperti Jepun menawarkan pelbagai pengalaman berharga yang boleh dimanfaatkan oleh mahasiswa Malaysia untuk memperluaskan perspektif serta meningkatkan kefahaman mereka terhadap pembangunan masyarakat moden.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa graduan Malaysia yang menuntut di Jepun mampu memainkan peranan penting dalam pembangunan negara selepas tamat pengajian.
“Kita mempunyai ramai graduan Malaysia dari Jepun yang telah memberikan khidmat besar kepada negara.
Mereka bukan sahaja membantu memenuhi keperluan industri baharu yang mempunyai kaitan dengan Jepun, malah turut menyumbang kepada pembangunan negara melalui pengalaman dan kefahaman yang diperoleh sepanjang berada di sini,” katanya.
Menjawab soalan seorang pelajar Malaysia mengenai sumbangan graduan Jepun terhadap agenda AI negara, Anwar berkata mahasiswa Malaysia di Jepun perlu memainkan peranan utama dalam menjayakan aspirasi AI negara menjelang 2030.
Beliau berkata, tanggungjawab mereka melangkaui pencapaian akademik semata-mata kerana pendedahan kepada budaya dan masyarakat Jepun turut membentuk perspektif yang penting untuk pembangunan negara.
“Gunakan masa anda di sini dengan sebaik-baiknya kerana Jepun mempunyai banyak perkara yang boleh dipelajari. Sebab itu anda dihantar ke sini,” katanya.
Difahamkan lebih 2,000 pelajar Malaysia sedang melanjutkan pengajian di Jepun, yang terus menjadi antara destinasi utama pendidikan tinggi bagi pelajar Malaysia.
Fatin Sajidah Fathuldin adalah pelajar Sarjana Muda Komunikasi Dengan Kepujian dari USIM yang sedang menjalani Latihan Industri di Nasional Daily
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L