Perebutan Kuasa PN, Bukti Bersatu Tidak Ikhlas Berkawan – UMNO Kelantan

KOTA BHARU – UMNO Kelantan tidak terkejut dengan kemelut politik yang tercetus di Perlis kebelakangan ini, yang didakwa berpunca daripada perebutan kuasa antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PAS dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Ketua Penerangan UMNO negeri, Datuk Noor Hariri Mohamed Noor berkata, perkembangan itu mengesahkan amaran yang pernah disuarakan kepada PAS sebelum ini mengenai sikap sebenar Bersatu dalam menjalin kerjasama politik.

“UMNO telah lama mengingatkan PAS bahawa Bersatu bukanlah rakan yang ikhlas, sebaliknya sering mempermainkan persahabatan dan kepercayaan diberikan demi kepentingan kuasa jangka pendek.

“Justeru, kita tidak terkejut dengan apa yang berlaku (di Perlis). Perebutan kuasa ini adalah manifestasi jelas masalah dalaman PN yang berpunca daripada sikap Bersatu sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hariri turut mendakwa, Bersatu dianggotai pelbagai kelompok yang pernah mengkhianati mandat rakyat, termasuk bekas pemimpin UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meninggalkan parti asal mereka demi kepentingan peribadi dan kedudukan.

Kata beliau, budaya politik sedemikian bukan sahaja merosakkan kepercayaan rakyat, malah mencetuskan ketidakstabilan dalam mana-mana gabungan disertai Bersatu.

“Lebih membimbangkan, kali ini rakyat dapat melihat bagaimana Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, didakwa mempermainkan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang secara terbuka dan terang-terangan tanpa sebarang rasa hormat terhadap rakan gabungan.

“Situasi ini seharusnya membuka mata PAS agar tidak terus terperangkap dalam permainan politik Bersatu yang berteraskan kepentingan individu semata-mata,” katanya.

Beliau turut memberi peringatan janji kemewahan, sokongan kewangan dan kedudukan ditawarkan Bersatu kepada PAS untuk meninggalkan UMNO hanyalah bersifat sementara dan bersandarkan agenda peribadi.

“PAS perlu sedar semua janji ini hanyalah alat untuk memartabatkan Muhyiddin kembali sebagai Perdana Menteri, bukannya demi perjuangan Islam atau kepentingan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru PAS agar lebih bijak dan matang dalam memilih rakan politik, dengan mengutamakan kesetiaan, kejujuran dan kesanggupan untuk bersama menghadapi cabaran dalam apa jua keadaan.

“Kawan sebenar ialah mereka yang sanggup bersama ketika susah dan senang, bukan yang menikam sahabat sendiri apabila kuasa dan kepentingan peribadi menjadi taruhan,” katanya lagi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *