Penyertaan Pegawai J-KOM Kedah dalam Bengkel Penulisan Skrip Teater Siri Ketiga PAKSI

Dari Meja Editorial

BENGKEL Penulisan Skrip Teater Siri Ketiga anjuran PAKSI berjaya dilaksanakan selama tiga hari bermula 20 hingga 22 Disember lalu di Rumah Pusaka Dinsman, Kampung Raja, Tunjang, Jitra, Kedah.

Ia menghimpunkan penggiat seni, penulis skrip, ahli akademik serta generasi muda bagi memperkukuh ekosistem seni budaya dan teater tanah air, khususnya di Kedah.

Turut disertai ialah dua pegawai Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Kedah, iaitu Pegawai Penerangan Parlimen Kuala Kedah, Muhammad Anas Othman dan Penolong Pegawai Penerangan Parlimen Pokok Sena, Sharifah Munawir Md. Isa.

Penyertaan ini membuka ruang pemahaman yang lebih luas mengenai potensi seni budaya dan teater sebagai medium komunikasi strategik dalam penyampaian dasar dan mesej kerajaan kepada masyarakat.

Bengkel dimulakan dengan sesi taklimat teater dan perkenalan peserta. Perbincangan asas teater merangkumi pemahaman struktur skrip, pembinaan watak, konflik dramatik serta peranan bahasa dan simbol dalam menyampaikan makna secara tersirat.

Sesi pembedahan skrip memberi peluang kepada peserta meneliti karya secara kritis dan berfokus, sekali gus memperkukuh kefahaman mengenai keperluan menghasilkan skrip yang jujur, bernilai seni dan relevan dengan realiti masyarakat.

Acara seni yang dipersembahkan melalui fragmen Pak Sastro dan persembahan Convention dari Abdul Razak Khaliq telah menambah dimensi praktikal terhadap teori yang dibincangkan.

Sesi dialog bersama Datuk Dinsman berkaitan skrip Menunggu Kata Dari Tuhan (MKDT) menjadi antara pengisian utama bengkel. Perbincangan tersebut menyentuh isu kebebasan berkarya, keberanian menyampaikan kebenaran serta cabaran pengkarya dalam landskap sosial dan politik semasa.

Hari kedua bengkel diisi dengan bacaan puisi serta proses pemuktamadan skrip Pak Sastro dan Puteri Sadong. Rumusan bengkel menegaskan bahawa seni budaya dan teater berfungsi sebagai medium pembentukan jati diri, pengukuhan nilai budaya serta wahana pendidikan masyarakat.

Hari ketiga pula menumpukan perbincangan berkaitan jadual dan proses penerbitan antologi skrip sebagai usaha pendokumentasian dan kesinambungan hasil bengkel.

Bengkel ini turut mengenal pasti beberapa permasalahan utama dalam dunia seni dan teater, antaranya kekangan untuk berkarya secara jujur akibat tekanan tertentu, cabaran daya saing berbanding negara serantau serta kesukaran menarik minat generasi muda.

Selain itu, usaha membentuk khalayak yang berfikiran kritis turut menjadi cabaran berterusan dalam konteks penerimaan seni budaya.

Dari perspektif pegawai J-KOM, seni dan teater berpotensi besar dijadikan medium alternatif dalam penyampaian dasar-dasar kerajaan. Pendekatan seni bersifat tidak terlalu langsung mampu menarik minat masyarakat yang semakin jemu dengan bentuk penyampaian konvensional dan klise.

Elemen seni budaya dan teater juga dilihat berkesan dalam mengajak rakyat berfikir secara kritis serta menilai maklumat sebelum menerimanya. Bagaimanapun, pendekatan ini perlu disesuaikan dengan cita rasa semasa tanpa mengabaikan prinsip asas seni dan nilai budaya tempatan.

PAKSI menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan J-KOM dalam menganjurkan program seni dan teater di peringkat parlimen. Cadangan pembangunan modul khusus bagi kegunaan J-KOM di lapangan dilihat sebagai langkah strategik untuk memastikan pelaksanaan program yang lebih tersusun dan berimpak tinggi.

Secara keseluruhannya, bengkel ini berjaya membuka ruang dialog antara dunia seni dan komunikasi awam. Ia membuktikan seni dan teater bukan sahaja berfungsi sebagai hiburan, malah sebagai medium berkesan dalam pembinaan pemikiran, jati diri dan penyampaian maklumat kepada masyarakat secara lebih inklusif dan berkesan. – ND

Laporan ini disediakan Muhammad Anas (J-KOM Parlimen Kuala Kedah) dan Sharifah Munawir (J-KOM Parlimen Pokok Sena).

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *