Dari Meja Editorial
RAMAI dalam kalangan kita menyangka fail tragedi MH370 sudah lama ditutup, disimpan kemas dalam stor berhabuk sejarah dunia penerbangan. Ada yang beranggapan dunia telah melangkah ke hadapan dan misteri ini perlahan-lahan dilupakan oleh masa.
Namun, hakikatnya tidak semua pihak sanggup menerima ketidakpastian sebagai jawapan. Di sebalik senyapnya liputan dan sunyinya perbincangan awam, wujud sebuah syarikat penerokaan laut dalam yang belum berpuas hati.
Sebuah nama yang tidak pernah benar-benar berundur daripada misi ini ialah Ocean Infinity. Syarikat ini bukan pemain biasa. Mereka terkenal dengan pendekatan agresif, berani mengambil risiko dan memiliki kepakaran tinggi dalam pemetaan dasar laut yang paling ekstrem di dunia.
Kegagalan misi pencarian pada tahun 2018 bukan penamat buat mereka. Sebaliknya, kegagalan itu menjadi titik mula kepada satu tempoh muhasabah teknologi yang panjang.
Selama bertahun-tahun selepas itu, Ocean Infinity tidak “balik tidur”. Mereka kembali ke makmal, mengkaji semula data lama, menilai kelemahan misi terdahulu dan memerah otak untuk menjawab satu soalan besar: apa yang tidak mampu kita lihat dahulu, dan bagaimana kita boleh melihatnya sekarang?
Jawapan kepada persoalan itu membawa kita ke satu tarikh penting, 30 Disember 2025. Pada hari tersebut, Ocean Infinity dijadualkan kembali ke Selatan Lautan Hindi bagi satu lagi usaha pencarian.
Kali ini, dengan pendekatan yang jauh berbeza dan persiapan yang dianggap paling canggih. Persoalan utama bermain difikiran ramai ialah mengapa Malaysia kali ini begitu yakin untuk memberi lampu hijau?
Jawapannya terletak pada perubahan mendasar dari segi teknologi dan strategi.
Ocean Infinity bakal membawa masuk sebuah aset baharu yang dikenali sebagai Armada 7806, sebuah kapal pencarian laut dalam direka khusus untuk operasi kompleks dan berisiko tinggi.
Kapal ini bukan sekadar platform logistik, tetapi pusat kawalan kepada generasi baharu robot penyelam tanpa pemandu atau Autonomous Underwater Vehicles (AUV) yang jauh lebih pintar berbanding apa yang pernah digunakan sebelum ini.
Untuk memahami perbezaannya, kita perlu melihat ke belakang. Dalam misi terdahulu, teknologi sonar yang digunakan diibaratkan seperti menyuluh dalam gelap menggunakan lilin, cahaya ada, tetapi samar dan terhad.
Tambahan pula, dasar Lautan Hindi bukan permukaan rata seperti padang bola. Ia dipenuhi gunung-ganang bawah laut yang menjulang setinggi bangunan pencakar langit, lurah-lurah dalam, cenuram curam serta struktur geologi yang sangat kompleks dan berbahaya.
Keadaan ini menyebabkan sonar lama sering keliru. Batu besar disalah tafsir sebagai objek logam, manakala serpihan pesawat pula tenggelam dan hilang dalam bayang-bayang muka bumi dasar laut yang ganas. Banyak petunjuk palsu dikesan, dan banyak masa serta kos terbuang.
Namun kali ini, ceritanya berbeza sama sekali. Robot baharu Ocean Infinity dilengkapi dengan teknologi Synthetic Aperture Sonar (SAS) — satu lonjakan besar dalam dunia pengimejan dasar laut. Resolusi “mata” teknologi ini sangat tinggi, mampu mengesan dan memetakan objek sekecil 10 sentimeter dalam kegelapan total dan tekanan ekstrem ribuan meter di bawah permukaan laut.

Bayangkan serpihan kecil seperti tayar pesawat, kerusi kabin, atau bahagian sayap yang mungkin sudah tertimbus dalam lumpur laut selama lebih sedekad, semuanya kini berada dalam keupayaan pengesanan teknologi ini.
Lebih mengagumkan, data sonar tersebut tidak lagi perlu dianalisis secara manual satu persatu. Ia dipadankan dengan Kecerdasan Buatan (AI) yang mampu meneliti ribuan imej dasar laut secara masa nyata, mengenal pasti corak mencurigakan dan membezakan antara struktur semula jadi dengan objek buatan manusia dengan ketepatan tinggi.
Faktor kedua meningkatkan keyakinan Malaysia ialah pendekatan kewangan digunakan: “No Find, No Fee.”
Dalam perjanjian ini, kerajaan Malaysia tidak perlu membayar sebarang kos sekiranya bangkai pesawat tidak ditemui. Bayaran hanya akan dibuat jika pencarian berjaya. Logiknya mudah, tiada syarikat perniagaan sanggup membakar jutaan ringgit kos operasi setiap hari tanpa keyakinan tinggi terhadap kejayaan misi.
Kesanggupan Ocean Infinity menanggung risiko kerugian besar ini memberi isyarat jelas mereka memiliki petunjuk baharu sangat kukuh. Tambahan pula, skop pencarian kali ini jauh lebih fokus. Jika sebelum ini kawasan carian meliputi sekitar 120,000 km persegi, kali ini tumpuan hanya kawasan sekitar 15,000 km persegi berhampiran garisan dikenali sebagai “Seventh Arc”.
Kawasan ini dikenal pasti hasil gabungan pelbagai sumber data: isyarat satelit Inmarsat, analisis laluan penerbangan, serta kajian hanyutan serpihan (debris) yang ditemui di Madagascar dan pantai Afrika sebelum ini. Malah, teori baharu daripada pakar seperti Richard Godfrey, yang menggunakan analisis gelombang radio WSPR, turut diambil kira bagi mengecilkan lagi skop pencarian.
Menariknya, semua set data ini, walaupun datang dari kaedah dan disiplin berbeza, menunjuk ke arah kawasan hampir sama.
Kini, sebagai rakyat Malaysia, apa yang mampu kita lakukan hanyalah berdoa. Misi yang bakal bermula hujung bulan ini mungkin merupakan peluang terakhir untuk menoktahkan misteri terbesar dalam sejarah penerbangan moden.
Ia bukan sekadar mengenai mencari bangkai pesawat, tetapi tentang memberikan jawapan kepada waris yang telah menunggu selama 11 tahun, menunggu tanpa kubur, tanpa nisan, tanpa kepastian.
Semoga Allah permudahkan urusan pencarian ini. Sesungguhnya, dalam setiap rahsia yang disembunyikan, ada hikmah yang hanya diketahui oleh-Nya. Mungkin dengan teknologi diilhamkan kepada manusia hari ini, tabir itu akhirnya akan disingkap, dengan izin-Nya.
Kita doakan yang terbaik untuk semua wira yang bakal berjuang di tengah lautan ganas itu. Semoga usaha mereka diberkati dan membuahkan kebenaran. – Sumber dari Mazlan Syafie
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L