Hubungan Bertaut Sejak Bangku Sekolah

Oleh: Abdul Ghaffar Daud

RANTAU PANJANG – Bermula sebagai rakan sekelas di sekolah rendah, akhirnya hubungan Muhamad Irfan Syahmie Rusmiesahizam dan Nor Nurin Jazlina Ahmad Tarmizi berakhir di jinjang pelamin apabila mereka selamat diijabkabulkan sebagai suami isteri yang sah.

Pasangan yang masing-masing berusia 25 tahun itu diraikan dalam majlis persandingan yang berlangsung di pekarangan Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’ Deh, dekat sini, hari ini.

Menurut Irfan, beliau dan isterinya pernah belajar dalam kelas yang sama ketika di sekolah rendah, manakala rumah keluarga mereka pula terletak berdekatan dengan jarak kurang daripada 100 meter.

“Sejak kecil lagi kami saling mengenali kerana belajar bersama di sekolah dan tinggal dalam kawasan yang sama. Namun, jodoh kami hanya dipertemukan semula apabila masing-masing sudah dewasa,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Beliau yang kini berkhidmat sebagai anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Ipoh, Perak berkata, tugas sebagai anggota tentera yang memerlukan beliau berjauhan dari kampung halaman bukan penghalang untuk membina hubungan yang lebih serius sehingga membawa kepada perkahwinan.

“Alhamdulillah, walaupun saya bertugas di Ipoh hampir tiga tahun, segala urusan dipermudahkan dan hari ini menjadi detik paling bermakna dalam hidup kami,” katanya.

Irfan turut melahirkan rasa syukur kerana majlis persandingannya dimeriahkan dengan kehadiran rakan-rakan lama yang pernah belajar bersamanya di Maahad Muhammadi Rantau Panjang.

“Saya sangat terharu apabila ramai sahabat yang pernah sekelas dengan saya semasa Tingkatan Lima tahun 2018 hadir untuk meraikan hari bahagia ini,” katanya.

Beliau berharap perkahwinan yang dibina bersama Nor Nurin Jazlina akan kekal bahagia dan diberkati Allah SWT hingga ke akhir hayat.

Kisah pasangan tersebut membuktikan bahawa perkenalan sejak kecil mampu berakhir dengan ikatan perkahwinan apabila tiba waktu yang telah ditentukan oleh Ilahi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

One thought on “Hubungan Bertaut Sejak Bangku Sekolah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *