KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menyatakan kesediaannya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor semalam, bagi memberi laluan kepada proses demokrasi.
Pengerusi PN, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pilihan raya bukan sekadar medan persaingan politik, sebaliknya peluang untuk menawarkan penyelesaian yang lebih baik kepada rakyat dalam pelbagai aspek termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan, pembangunan ekonomi negeri, integriti pentadbiran dan masa depan negara.
Menurut beliau, seluruh kepimpinan, jentera dan ahli parti komponen PN diseru memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap persiapan menghadapi pilihan raya dengan semangat kebersamaan, disiplin serta kesatuan tindakan.
“Perikatan Nasional akan memasuki gelanggang pilihan raya ini dengan penuh tanggungjawab, matang dan profesional serta meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Ahmad Samsuri turut mengingatkan seluruh jentera parti agar mengelakkan sebarang bentuk provokasi melampau, politik kebencian dan budaya perpecahan sepanjang kempen pilihan raya.
Sebaliknya, beliau mahu PN menampilkan pendekatan politik yang lebih tenang, berfakta dan berorientasikan penyelesaian terhadap isu-isu yang membelenggu rakyat.
Beliau berkata, kerjasama semua pihak serta sokongan rakyat amat penting bagi memastikan agenda pentadbiran yang stabil, bersih dan prihatin dapat diteruskan demi kesejahteraan Johor dan negara.
“Insya-Allah, dengan kerjasama semua pihak serta sokongan rakyat, Perikatan Nasional akan terus membawa agenda pentadbiran yang stabil, bersih dan prihatin demi masa depan Johor dan Malaysia yang lebih baik,” katanya.
Terdahulu, Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan bagi membuka laluan kepada Pilihan Raya Negeri yang bakal menyaksikan persaingan parti-parti politik untuk mendapatkan mandat rakyat mentadbir negeri tersebut bagi penggal akan datang.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L