Aktivis Akan Selalu Gagal Dalam Politik, Sekadar Pemecah Belah Negara Yang Tidak Diperlukan

Saya hampir menjadi penyokong tegar Rafizi. Lebih dari sekali. Sejak kegigihan beliau jatuhkan 1MDB, beliau bukan sekadar ahli politik; penganalisis data, ahli statistik, dan pakar rumus yang cuba untuk tampil berbeza dengan mengambil kesempatan terhadap ‘terlalu lama Malaysia hanyut dalam permainan retorik’.

Betul ideanya segar, sebab Rafizi bijak. Orang muda suka dengar, mereka dahagakan pembaharuan dan idealisme. Kita sangka inilah orang yang akan membawa perubahan kepada politik negara. Sebenarnya sampai sekarang, skripnya masih sama.

Rafizi mahir tentang pembujukan dan susunan perkataan. Sangat arif dalam menggaulkan angka, proses saintifik, dan sentimen jiwa yang dirumuskan sehingga dapat gelaran Raja Formula. Sesuai dengan latar belakang akademik dan kerjaya beliau.

Yang tidak sesuai ialah, Rafizi sentiasa memikul ego ketika orang lain berpenat lelah memikul negara.

Benar orang lain berbuat silap dan kompas politik perlu dicatur sehingga menyebabkan ramai tidak berpuas hati. Kerana orang lain memilih jalan panjang untuk finish what they started. Tetapi bukan Rafizi.

Saya masih ingat sesekali dalam bulan lepas bila saya dengar podcast Yang Berhenti Menteri, telinga saya jadi panas tapi saya termenung. Ada hantaran bodoh dari Facebook yang sebut “Rafizi tu cakap dia sorang je betul, orang lain semua salah,”.

Saya panas telinga sebab itu kebenarannya. Sejak tunjuk belang keluar dari kerajaan, terutama selepas kalah pemilihan. Tidak ada mana-mana pihak pun lebih betul dari Rafizi. Beliau sentiasa ada cara untuk tunjukkan beliau yang paling cermat.

Dari Perdana Menteri, sampailah ke sekecil-kecil watak ahli parti lama, semuanya salah.

Rafizi mula serang DSAI secara terbuka. Tuduhan DSAI dikelilingi ‘yes men’, melindungi kepentingan korporat, dan golongan kaya.

Kalau pembaca boleh fikir, tanya semula diri kita, adakah kritikan ini ikhlas, atau sekadar ego yang terluka?

Ada gambaran yang sangat besar. Rafizi bukan lagi seorang reformis yang berusaha memperbaiki sesuatu, beliau sudah jadi lone ranger yang melihat hampir semua orang lain sebagai musuh. Serang, ancam, tuduh, dan rosakkan imej orang lain seolah-olah tak ada benda baik pernah dilakukan kawan lama.

Ada satu realiti yang Rafizi berjaya senyapkan atau buat tidak tahu. Kerajaan sekarang tidak berkuasa mutlak. Senario lebih kurang akan berlaku dalam pilihan raya akan datang.

Paling saya kecewa dan rasa tak logik langsung, dari mulut Rafizi sendiri kata parti baru beliau tak akan bergabung dengan sesiapa, cukup ironi bila sibuk dengan agenda atau manifesto macam baharu, tetapi sebenarnya tak ada kejujuran pun dari BERSAMA untuk percaya yang mereka perlu untuk dapatkan simple majority, barulah ada hak jadi kerajaan penggubal dasar.

Begitu sahaja rakyat dimainkan. Mereka tak kisah tiada kawan, rela jadi pembangkang. Tetapi konon-konon bawa pembaharuan.

Tepat sekali telahan kecil saya memang Rafizi mampu bersuara, tetapi tiada beza dengan aktivis NGO. Berbunyi, tetapi hujung cerita nanti diam. Kerana tidak ada kuasa.

Tak keterlaluan kalau ada yang singgung Rafizi duri dalam daging. Waktu ada kuasa, diam seribu bahasa, bila tidak jadi timbalan, lepas segala jawatan.

Kalau 50 tahun hidup beliau tidak ada penyatuan yang dilakukan, hanya sekadar menjadi suara penentangan, apa yang kita boleh harapkan dari sebuah parti ‘bersih’, pada masa hadapan?

Mungkin bila sedikit comot tertumpah kotor di baju, Rafizi akan ajak kita salin baju baharu lagi sampai cukup masa kita semua disalinkan baju tujuh lapis menuju Ilahi.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *