Pemanduan Melulu Dua Kereta Mewah Cetus Tragedi, Empat Sekeluarga Terkorban

KLUANG – Tindakan dua pemandu kereta mewah memandu secara laju dan melulu dipercayai menjadi punca nahas ngeri yang meragut nyawa empat sekeluarga di Jalan Renggam-Kluang, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan awal mendapati kemalangan yang berlaku pada jam 1.15 tengah hari itu membabitkan lima kenderaan.

Menurut beliau, sebuah kereta BMW 530e yang dipandu lelaki berusia 22 tahun sedang dalam perjalanan dari bandar Kluang ke Simpang Renggam sebelum hilang kawalan.

“Siasatan mendapati BMW 530e tersebut dipandu secara laju dan melulu bersama sebuah lagi kereta Mercedes-Benz A250 yang dipandu remaja lelaki berusia 19 tahun.

“BMW itu kemudian hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh empat kenderaan lain iaitu Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah Mercedes-Benz yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, selepas merempuh kesemua kenderaan terbabit, BMW 530e berkenaan terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung di tepi jalan.

Akibat rempuhan kuat itu, pemandu Toyota Vios berusia 36 tahun dan isterinya berusia 33 tahun maut di lokasi kejadian. Turut terkorban ialah seorang wanita berusia 73 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.

“Kesemua mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badan,” katanya.

Dalam pada itu, pemandu BMW 530e turut disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Bahrin berkata, dua kanak-kanak yang menaiki Perodua Alza masing-masing berusia 11 dan tujuh tahun mengalami kecederaan di kepala dan kini menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

“Pemandu Perodua Alza berusia 43 tahun cedera pada kaki, manakala pemandu Proton Wira berusia 22 tahun cedera di mulut.

“Seorang wanita berusia 57 tahun yang memandu Mercedes-Benz pula hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.

Menurut beliau, semua mangsa yang cedera sedang menerima rawatan di hospital sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Susulan kejadian itu, polis turut menahan pemandu Mercedes-Benz A250 yang dipercayai terlibat dalam perlumbaan atau pemanduan berbahaya bersama BMW berkenaan.

“Polis telah merampas kenderaan tersebut untuk siasatan lanjut. Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah dan permohonan reman akan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang bagi membantu siasatan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *