Oleh: Manzaidi Mohd Amin
DI KAMPUNG Raja, Tunjang, Jitra, Kedah – di sebuah rumah pusaka yang berdiri tenang di tengah perkampungan, dilingkari sawah yang menghijau sejauh mata memandang – kata-kata bertemu jiwa, dan manusia-manusia yang datang dari pelbagai penjuru tanah air, berkumpul bukan sekadar untuk belajar menulis skrip, tetapi untuk saling mengenal rasa, luka, harapan dan perpisahan.
Bengkel Penulisan Skrip Teater Siri Ketiga ini bermula pada pagi Sabtu, 20 Disember 2025, tepat jam 8.30 pagi. Seawal Subuh, peserta dari Kelantan, Selangor dan Perlis sudah pun berkumpul di homestay masing-masing sekitar Kampung Raja dan Kampung Tunjang, membawa bersama keletihan perjalanan jauh, kesesakan jalan raya dan harapan yang tidak terucap.
Langkah-langkah kecil membawa mereka menaiki Rumah Pusaka Dinsman, sebuah rumah kayu yang tidak menawarkan kerusi empuk, tidak menyediakan meja dan alat tulis.
Di sinilah peserta duduk bersila di atas karpet, dengan gaya dan keselesaan masing-masing, seolah kembali ke pangkal budaya, ke asas ilmu yang lahir dari kesederhanaan.
Di hadapan mereka, Datuk Dinsman memulakan mukadimah, ucapan alu-aluan yang tidak bersifat rasmi semata-mata, tetapi penuh hikmah dan keikhlasan. Kata-katanya mengalir seperti air bendang, tenang, tetapi menyuburkan.

Bengkel siri ketiga ini menyaksikan kehadiran yang lebih ramai berbanding siri pertama dan kedua. Hadir bersama, Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Putra Malaysia, Dr. Fazilah Hussin, ditemani dua penuntutnya, Nor Syuhada Namirah Othman dan Qurratul Aini Ahmad Adam (Kesusasteraan Melayu UPM).
Turut serta dua pegawai J-Kom, Muhammad Anas Othman dan Sharifah Munawir Md. Isa, diikuti dan dimeriahkan peserta setia bengkel, Kassim Muhamad (Pak Kassim), Abdul Razak Khaliq (Doc Razak), Jamly Bahrulddin (Cikgu Jamly), Sharifah Naina Mohamad selaku urusetia, dan Manzaidi Mohd Amin (digelar Tuan Editor), melengkapkan saf ilmu yang terbina.
Cuma satu nama tidak hadir secara jasad, iaitu Sharifah Khadijah Al-Jufri. Namun, keprihatinannya tetap terasa, apabila beliau bertanya khabar dari jauh, seolah jiwanya turut duduk bersila bersama yang lain.
Usai makan tengah hari di rumah jiran yang mengadakan kenduri perkahwinan anak mereka, bengkel diteruskan dengan persembahan teater mini olahan Pak Kassim dan Cikgu Jamly bertajuk “Menggilap Bos”. Persembahan di tingkat bawah Rumah Pusaka Dinsman itu berlangsung hingga petang, diselang-seli monolog ringkas dan spontan oleh Dr. Fazilah, Nor Syuhada dan Qurratul Aini.

Walaupun Nor Syuhada dan Qurratul Aini masih baharu, mereka melangkah tanpa ragu. Tiada alasan, tiada penolakan. Mereka menyahut cabaran dengan keberanian yang memukau, membuktikan bahawa bakat muda hanya menunggu ruang untuk mekar.
Hari pertama berakhir sekitar jam 9 malam, lebih awal daripada jadual. Keletihan perjalanan jauh dan kesesakan jalan memberi isyarat tubuh juga perlu diraikan, agar jiwa mampu terus menyerap ilmu dengan jujur.
Hari kedua, Ahad 21 Disember 2025, membuka tirainya di dataran kecil di tepi bendang, tempat di mana puisi tidak hanya dibaca, tetapi dihirup bersama angin sawah.
Sebelum acara bermula, peserta disajikan dengan pengalaman menjala ikan oleh seorang penduduk kampung. Haruan, puyu dan sepat yang ditangkap menjadi saksi bahawa alam yang terjaga memberi rezeki yang bersih dan jujur.
Acara Membaca Puisi di Bendang dimulakan dengan ucapan Dinsman, diikuti Pak Kassim dengan puisinya “Sastro”, Cikgu Jamly (“Sawah Menangis”), Nor Syuhada (“Hujan Mula Berbisik”), Dr. Fazilah (“Menunggu Masa”), Muhammad Anas (“Aku Petani Bahasa” karya Tan CL), Sharifah Munawir (“Kisah Kerjaya”), Qurratul Aini (“Palestin”), Manzaidi (“Kisah Seorang Wartawan Tua”), dan Doc Razak (“Pesan Abah”).

Namun, di situlah hati mula diuji. Doc @ Abdul Razak memaklumkan beliau terpaksa menamatkan bengkel sebelum tengah hari kerana tugasan di Kuala Lumpur. Tanpa disangka, prolog Pesan Abah menikam perasaan Nor Syuhada dan Qurratul Aini. Air mata gugur tanpa dipinta. Dalam waktu yang singkat, ‘Abah’ itu telah menjadi tempat berpaut emosi dan kini, perpisahan datang terlalu cepat.
Mereka belajar satu hakikat yang tidak pernah diajar secara formal, hidup ini sementara dan perpisahan dengan insan tersayang adalah sebahagian daripada perjalanan.
Petang itu, selepas makan tengah hari, peserta menikmati hasil ikan darat yang dijala pagi tadi, gulai haruan, puyu goreng kunyit dan pekasam sepat. Tiada banyak bicara. Peluh bercampur rasa syukur. Cuaca terang, panas dan berangin, seolah alam turut merestui pertemuan itu.
Sesi seterusnya diisi dengan pembedahan skrip Puteri Saadong karya Manzaidi dan Pak Sastro karya Pak Kassim. Doc Razak sudah pun di jalanan, menuju takdirnya sendiri.
Perbincangan turut menyentuh keterlibatan J-Kom dalam bengkel ini, suatu hasrat Dinsman agar kesusasteraan didekatkan dengan masyarakat melalui pendekatan baharu. Cadangan bengkel monolog disambut baik oleh wakil J-Kom, yang mengakui potensi besar pendekatan ini.

Namun, pilu kembali bertamu apabila Dr. Fazilah memaklumkan kepulangan awal beliau bersama Nor Syuhada dan Qurratul Aini ke UPM. Begitu juga wakil J-Kom yang terikat dengan mesyuarat. Maka, hari ketiga bakal diteruskan oleh lima insan sahaja.
Isnin, 22 Disember 2025, hari yang paling berat. Tinggallah Dinsman, Pak Kassim, Sharifah Naina, Cikgu Jamly dan Manzaidi. Hari perpisahan tidak pernah ditunggu, tetapi sentiasa datang.
Tepat jam 12 tengah hari, masing-masing membawa haluan sendiri. Perpisahan itu menyakitkan, namun mereka pulang dengan dada yang sarat, bukan sekadar ilmu, tetapi kenangan, persahabatan dan janji tidak terucap bahawa kata-kata yang dipelajari di Rumah Pusaka Dinsman akan hidup suatu hari nanti, di atas pentas, di dalam skrip dan di dalam jiwa.
Di antara bendang dan kata, mereka belajar bahawa seni bukan sekadar tulisan. Ia adalah pertemuan dan perpisahan yang membesarkan manusia.
Pada detik-detik akhir, ketika langkah sudah mula mencari arah pulang, suara hati turut diberi ruang. Cikgu Jamly, dengan nada rendah penuh syukur, menzahirkan rasa yang mewakili semua peserta, rasa terhutang budi yang tidak terbalas dengan kata:

“Terima kasih tuan rumah, bro Mat Dan dan Tuan Shamri.
Menu makan minum, jasa baik tuan dan Pak Su serta Mak Su kami sanjungi.
Tiada kata selain syukur dan ribuan terima kasih.
Orang Tunjang baik-baik belaka.”
Kata-kata itu sederhana, namun sarat makna, menyentuh inti kemanusiaan bahawa seni dan ilmu tidak pernah berdiri sendiri tanpa ihsan dan tangan-tangan yang memberi.
Lalu, seperti adat Melayu yang mengikat rasa dengan bait berirama, pantun pun dilantunkan, sebagai janji, sebagai doa, sebagai harapan untuk pertemuan yang belum tentu bila, tetapi tetap diyakini akan tiba:
Kalau ada sumur di ladang,
Boleh hamba menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.
Dan Cikgu Jamly menutup dengan pantun yang mengikat perpisahan ini dalam bingkai kenangan:
Bunga melati harum mewangi,
Disusun rapi atas dulang;
Walaupun berpisah ketika ini,
Kenangan indah tetap dikenang.
Maka berakhirlah bengkel ini. Bukan dengan noktah, tetapi dengan koma yang panjang. Kerana di Rumah Pusaka Dinsman, yang pulang bukan hanya tubuh,
tetapi hati yang telah ditambat kenangan, dan ilmu yang akan terus berjalan
mencari pentasnya sendiri. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L