Oleh: Dr. Fauziah Hassan
PULAU PINANG – Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menjalinkan kerjasama strategik bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menerusi aktiviti khidmat masyarakat membersihkan Pantai Robina, baru-baru ini.
Menurut Pensyarah Pengiring, Dr. Fauziah Hassan, aktiviti ini merupakan program serampang dua mata yang memberi peluang kepada pelajar untuk memupuk semangat sukarelawan, di samping mengaplikasikan kemahiran kewartawanan secara praktikal dalam situasi sebenar lapangan.
“Aktiviti pembersihan ini disusun khas bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar dan pengunjung pantai tentang kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar, terutama amalan tidak membuang sampah merata-rata,” katanya.

Sementara itu, wakil MBSP, Abdul Sani Abdul Hasan menyatakan sokongan penuh terhadap usaha murni tersebut yang selaras dengan misi mereka dalam menjaga keindahan kawasan rekreasi.
“MBSP sentiasa menyokong program sebegini kerana menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan persekitaran pantai sentiasa bersih, sekali gus memberikan imej dan pemandangan terbaik kepada pelancong tempatan dan luar negara,” jelas beliau.

Dalam program tersebut, pihak MBSP turut memudah cara aktiviti dengan menyediakan peralatan pembersihan seperti penyepit sampah dan tong sampah untuk kegunaan para peserta.
Inisiatif itu dilaksanakan bersempena dengan program Eksplorasi Kewartawanan yang diadakan di negeri mutiara ini pada 19 hingga 21 Disember lepas dengan penyertaan sebanyak 25 pelajar Komunikasi USIM.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L