Bekas Wakil Pelabur Didakwa Salah Guna Nama Pertubuhan CSWK Untuk Rawatan Anak di IJN

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Warisan Pusaka Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia (CSWK) menegaskan, ia tidak lagi bertanggungjawab terhadap seorang bekas wakil pelabur yang didakwa menyalahgunakan nama pertubuhan itu bagi urusan kemasukan anaknya untuk rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Menurut Yang Dipertuanya, Fadzillah Hussin, perkara itu terbongkar selepas pihak IJN menghubungi Bendahari pertubuhan, Noatiqi Rasidi bagi mendapatkan pengesahan berhubung seorang individu mendaftarkan anaknya menggunakan kad perniagaan serta identiti yang dikaitkan dengan pertubuhan itu.

Katanya, siasatan dalaman mendapati individu terbabit yang dikenali dengan nama Islam sebagai “Husin” atau masih menggunapakai nama bukan Islam, “Allan” telah lama dipecat sebagai wakil pelabur selepas terlibat dalam beberapa kes penipuan yang menyebabkan pertubuhan berkenaan mengalami kerugian kewangan melebihi RM500,000.

Menurut beliau, susulan pemecatan itu, notis rasmi penamatan sebagai wakil pelabur telah dikeluarkan dan diserahkan kepada individu berkenaan, termasuk arahan supaya memulangkan serta menghentikan penggunaan semua kemudahan dan simbol pertubuhan.

“Bagaimanapun, Fadzillah mendakwa, bekas wakil pelabur itu masih terus menggunakan nama dan kemudahan pertubuhan dalam urusan peribadi, termasuk bagi mendapatkan rawatan anaknya yang menghidap penyakit jantung di IJN.

Keadaan itu, katanya, menyebabkan pihak IJN terpaksa membuat laporan polis ke atas individu terbabit, selepas mendapati terdapat bayaran yang disyaki tidak sah dilakukan bagi tujuan membawa keluar anaknya dari institut berkenaan.

“Pihak IJN telah menghubungi Bendahari kami untuk mendapatkan pengesahan latar belakang individu itu. Kami mengesahkan lelaki mualaf bernama “Hussin” atau “Allan” bukan lagi wakil pelabur kami dan pertubuhan tidak sama sekali bertanggungjawab terhadap sebarang penggunaan nama atau kemudahan kami,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Fadzillah berkata, pihak Pertubuhan Cik Siti Wan Kembang (CSWK) turut menyerahkan laporan media terdahulu kepada IJN bagi menjelaskan latar belakang kes serta tindakan yang telah diambil oleh pertubuhan terhadap individu terbabit.

“Kami berasa amat kesal dengan kejadian ini. Bukan sahaja pertubuhan menjadi mangsa penipuan, malah anak dan ahli keluarga individu berkenaan turut menerima kesan akibat perbuatannya sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pertubuhan CSWK pada 22 Ogos lalu, telah mengeluarkan kenyataan rasmi memberi amaran keras kepada dua individu yang masih menggunakan nama, panggilan hormat dan simbol pertubuhan walaupun khidmat mereka sebagai wakil pelabur telah ditamatkan.

Pertubuhan Warisan Pusaka Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang Malaysia merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan bagi memelihara, mengangkat serta memperjuangkan warisan sejarah, adat resam dan kebudayaan Melayu yang berkaitan dengan figura Paduka Raja Cik Siti Wan Kembang.

Pertubuhan itu turut terlibat dalam pelbagai program kemasyarakatan, kebajikan dan pendidikan, termasuk penganjuran aktiviti kebudayaan, wacana sejarah serta usaha memperkukuh jati diri dan perpaduan masyarakat.

Selain itu, CSWK juga menegaskan, penganugerahan panggilan hormat, keahlian atau sebarang pelantikan adalah tertakluk kepada perlembagaan pertubuhan serta pematuhan etika yang ketat, dan boleh ditarik balik sekiranya berlaku pelanggaran peraturan atau tindakan mencemarkan nama baik pertubuhan.

Sehubungan itu, Pertubuhan CSWK menyeru orang ramai, agensi kerajaan dan pihak swasta supaya lebih berwaspada serta mendapatkan pengesahan rasmi daripada pihak pertubuhan sekiranya terdapat individu mendakwa mempunyai kaitan atau kononnya mewakili CSWK dalam sebarang urusan.

Pertubuhan itu turut menegaskan komitmennya untuk terus bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan sebarang salah guna nama, identiti atau kemudahan pertubuhan dapat dibendung demi menjaga integriti dan reputasi organisasi berkenaan.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *