Isu Tahanan Rumah Perlu Dibincang Teliti di Parlimen, Bukan Reaksi Emosi – Shamsul Iskandar

KUALA LUMPUR – Cadangan pelaksanaan mekanisme tahanan rumah perlu dibincangkan secara menyeluruh dan berperingkat melalui saluran Parlimen bagi memastikan ia selaras dengan kerangka undang-undang negara.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, isu berkenaan bukan perkara remeh dan memerlukan pendekatan yang berlandaskan empati, kebijaksanaan serta kematangan semua pihak.

Menurut beliau, perbincangan itu wajar mengambil kira perasaan, harapan dan kegusaran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan Titah Adendum.

“Pelaksanaan sebarang bentuk hukuman atau kaedah penahanan tidak boleh dibuat secara terburu-buru dan mesti berpaksikan peruntukan undang-undang serta proses kehakiman yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shamsul turut mengimbas kembali situasi pada 2016 apabila PKR pernah mengemukakan cadangan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjalani hukuman dalam bentuk tahanan rumah.

“Ketika itu, kerajaan memaklumkan secara rasmi bahawa Malaysia belum mempunyai peruntukan undang-undang khusus untuk melaksanakan mekanisme tahanan rumah.

“Oleh sebab itu, cadangan berkenaan tidak dapat dilaksanakan walaupun wujud pertimbangan dari aspek kesihatan dan kemanusiaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan rakan-rakan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan supaya bersikap matang dan berhati-hati dalam memberi reaksi terhadap keputusan mahkamah.

“Keputusan kehakiman melibatkan emosi, maruah institusi serta persepsi keadilan rakyat, maka ia perlu ditanggapi dengan penuh tanggungjawab dan empati,” katanya.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Alice Loke Yee Ching memutuskan bahawa Titah Adendum berkenaan tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61 yang berlangsung pada 29 Januari tahun lalu.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *