MUNICH: Harry Kane dikeluarkan lebih awal akibat kecederaan ketika Bayern Munich seri 1-1 di laman sendiri menentang Cologne dalam aksi Bundesliga, awal pagi tadi.
Pengendali Bayern, Vincent Kompany berkata, penyerang England itu dijangka terpaksa direhatkan untuk tempoh beberapa bulan, bukannya minggu.
Pemain pinjaman Tottenham Hotspur, Mikey Moore meletakkan Cologne di depan sebelum kecederaan Kane, namun Bayern menyamakan kedudukan menerusi jaringan Nathaniel Brown sebelum rehat.
El Mala berpeluang cerah untuk menghadiahkan kemenangan pertama Cologne di gelanggang Bayern sejak tahun 2009, tetapi percubaannya tersasar sedikit ketika pintu gol terbuka luas pada penghujung perlawanan.
Kini hanya satu mata di belakang Bayern, Borussia Dortmund berpeluang merampas kedudukan teratas secara mutlak jika menang ketika bertandang ke Borussia Moenchengladbach, esok.
Bayern turut kehilangan Michael Olise akibat kecederaan, sekali gus menambah masalah kecederaan yang melanda skuad mereka.
Bayern menyambut kepulangan pengendali Vincent Kompany selepas sebulan berehat dan pemain tengah Jamal Musiala selepas dua bulan diketepikan, namun masih kehilangan Luis Diaz, Serge Gnabry, Alphonso Davies, Ismael Saibari serta kapten Manuel Neuer.
Walaupun sekadar seri, Bayern yang akan bertandang ke Lille dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, Rabu ini, kekal sebagai satu-satunya pasukan yang belum tewas dalam semua pertandingan musim ini dalam kalangan lima liga utama Eropah.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Kompany kembali ke bangku simpanan dengan lengannya disokong anduh selepas bahunya terkehel ketika rebah di padang latihan sebelum dimasukkan ke hospital akibat radang meninges pada Oktober.
Cologne yang tiba di Munich dengan hanya satu kemenangan liga musim ini mengejutkan tuan rumah apabila mendahului pada minit ke-12 menerusi gerakan serangan balas yang dimulakan dan disudahkan Moore.
Moore memintas hantaran Olise yang tersasar sebelum meluru ke depan dan menemui Linton Maina, yang kemudian membuat hantaran kepada El Mala.
Ketika pertahanan Bayern semakin menghampiri, El Mala melakukan hantaran ke arah laluan Moore. Pemain pinjaman Tottenham itu dengan tenang memperdaya penjaga gol, Jonas Urbig sebelum menolak bola ke dalam gawang.
Bayern segera melancarkan serangan, namun menerima tamparan apabila Kane dijatuhkan dari belakang oleh pertahanan, Joel Schmied, di dalam kotak penalti Cologne.
Rayuan penalti Kane tidak dilayan. Dia bangkit dengan berhati-hati dan cuba meneruskan permainan, namun jelas berjalan tempang sebelum dikeluarkan tidak lama kemudian.
Ketika Cologne bertahan secara mendalam, Bayern cuba menyerang dari jarak jauh sebelum berjaya menyamakan kedudukan menjelang rehat menerusi rembatan rendah Brown yang menerjah penjuru kanan bawah gawang.
Tuan rumah menerima satu lagi tamparan pada penghujung babak pertama apabila Olise terjatuh selepas menerima cabaran pemain lawan.
Pemain sayap Perancis itu tidak kembali beraksi selepas rehat dan dilihat meninggalkan stadium tidak lama kemudian dengan menggunakan tongkat.
Memburu kemenangan pertama ke atas Bayern sejak tahun 2011 selepas 23 pertemuan, termasuk 21 kekalahan, Cologne terus memberi tekanan.
El Mala dan Maina memaksa Urbig melakukan dua aksi menyelamat berturut-turut yang menakjubkan sebelum genap sejam permainan.
El Mala berpeluang keemasan untuk meletakkan Cologne di depan lapan minit sebelum tamat perlawanan apabila berdepan satu lawan satu dengan Urbig, namun rembatan jarak dekatnya tersasar beberapa inci dari tiang. – AFP
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
