BEBERAPA Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung sejak akhir tahun lalu, menyaksikan pencapaian kurang memberangsangkan DAP di beberapa negeri, sungguhpun kemenangan diraih khususnya di kerusi bukan Melayu masih menunjukkan keupayaan parti itu mengekalkan sokongan pengundi.
PRN Sabah yang berlangsung November lalu memberi tamparan besar kepada DAP kerana parti itu bukan sahaja gagal menambah kerusi, malah kehilangan semua enam kerusi yang dimenanginya sebelum itu.
Keputusan ini penting kerana sebahagian kerusi tewas ialah kawasan bandar yang sebelum ini dianggap sebagai kubu kuat DAP, khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Likas, Luyang serta Kapayan.
Keputusan PRN itu juga menunjukkan purata undi DAP di enam kerusi yang dimenanginya pada PRN 2020 merosot ketara daripada 78.7 peratus kepada 27.6 peratus pada PRN tahun lalu, atau penurunan sebanyak 51.1 peratus.
Angka itu memperlihat kekalahan DAP di PRN Sabah bukan sekadar kehilangan kerusi akibat persaingan calon dan parti bertanding, sebaliknya turut membabitkan perubahan besar dalam pola penerimaan dan sokongan pengundi terhadap mereka.
PRN Johor seterusnya menyaksikan perubahan besar dalam kedudukan politik di negeri selatan itu. Barisan Nasional (BN) memperoleh kemenangan besar, menguasai 48 daripada 56 kerusi DUN, sementara Pakatan Harapan (PH) memperoleh lapan kerusi, berbanding 12 kerusi diraih mereka pada PRN Mac 2022.
Keputusan itu sekali gus memberi kesan langsung kepada pencapaian DAP sebagai komponen penstabil PH. DAP hanya memenangi enam kerusi daripada 17 kerusi yang ditandinginya iaitu DUN Skudai; Mengkibol; Bentayan; Senai; Penggaram dan Stulang.
DAP juga kehilangan empat kerusi dari segi jumlah kemenangan berbanding PRN Mac 2022, biarpun bertanding di tiga kerusi tambahan, berbanding 14 kerusi pada PRN sebelumnya.
📍 3062 Taman Indah, Jalan Banggol, 17500 Tanah Merah, Kelantan
Pencapaian diraih DAP di Johor sekaligus menyaksikan MCA, pesaing terdekat mereka memintas dari segi penguasaan kerusi DUN dimenangi mereka. Ini perubahan penting dalam persaingan politik di antara DAP dan MCA di Johor.
PRN Johor 2026 menunjukkan DAP masih mempunyai asas sokongan yang nyata, tetapi kedudukan politiknya di negeri itu sudah berubah. Cabaran parti itu bukan sekadar mendapatkan semula kerusi hilang, tetapi memahami sebab pengundi mengubah pilihan mereka.
PRN Negeri Sembilan berlangsung pada Ogos lalu menggambarkan DAP masih berjaya mengekalkan sebahagian besar kerusi ditandinginya, namun mengalami kemerosotan ketara dari segi peratusan undi diterima, berbanding pencapaian pada PRN 2023.
Loke kalah di DUN Chennah
DAP memenangi sembilan daripada 11 kerusi, berbanding semua 11 kerusi ditandingi pada 2023. Parti itu kehilangan dua kerusi, DUN Chennah dan Repah, iaitu kemenangan beralih kepada MCA.
Tamparan besar kepada DAP selepas Setiausaha Agung DAP, yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke tewas di DUN Chennah. Kekalahan dengan majoriti kecil 688 undi, membentuk persoalan penting terhadap penerimaan kepimpinan Loke yang menjadi ADUN Chennah sejak Mei 2013.
Empat kerusi DUN diraih DAP dalam PRN Melaka, mengulangi pencapaian dalam PRN 2021. Parti itu berjaya mempertahan semua kerusi yang ditandinginya, tetapi tidak menambah jumlah kerusi baharu, di samping peratusan undi diperoleh merosot sedikit.
Pada peringkat gabungan, PH mengalami pengurangan daripada lima kepada empat kerusi DUN, selepas Parti Amanah Negara (AMANAH) gagal mempertahan DUN Bukit Katil. Ini menunjukkan kejayaan DAP mempertahan kawasan tradisinya tidak semestinya bermakna PH berjaya memperluas pengaruh politik di seluruh Melaka.
Persoalan penting selepas PRN ini bukan sekadar kepercayaan rakyat terhadap PH khususnya, tetapi bagaimana membina semula keyakinan pengundi, memahami kehendak dan memperkukuh khidmat rakyat di semua kawasan pilihan raya.
Beberapa PRN mula memberi isyarat terhadap tahap sokongan dan penerimaan rakyat kepada PH.
Penguasaan semakin merosot DAP di kerusi bukan Melayu, tentunya bukan petanda positif apatah lagi ketika PKR dan AMANAH terus bergelut untuk meraih keyakinan pengundi Melayu. – Berita Harian
Facebook: Nasional Daily
TikTok: NasionalDaily
Whatsapp: NasionalDaily.com
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
