Mahkamah Tinggi: Tahanan Rumah Najib Tidak Disokong Undang-Undang

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi pada Isnin memutuskan pelaksanaan tahanan rumah seperti yang dipohon oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak boleh dilaksanakan kerana ketiadaan peruntukan undang-undang khusus di Malaysia.

Hakim Datuk Alice Loke Yee Ching menolak permohonan Najib, 72, yang memohon supaya kerajaan diarahkan melaksanakan Titah Adendum bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di kediamannya.

Dalam penghakiman yang dibacakan hampir sejam, hakim menjelaskan pihak pembelaan berhujah mekanisme tersebut boleh dilaksanakan berdasarkan Seksyen 43 Akta Penjara 1995 dan Peraturan 111 Peraturan-Peraturan Penjara 2000 berkaitan pelepasan banduan secara lesen.

Namun, mahkamah berpandangan peruntukan tersebut memberikan kuasa budi bicara sepenuhnya kepada Ketua Pengarah Jabatan Penjara, termasuk menetapkan tempoh serta syarat pelepasan, dan membolehkan banduan dipanggil semula ke penjara pada bila-bila masa.

Mahkamah turut mendapati permohonan semakan kehakiman bagi pelepasan awal itu tidak mempunyai asas undang-undang yang kukuh dan tidak sah dari segi pelaksanaan.

Menurut hakim, Titah Adendum yang dirujuk tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang berlangsung pada 29 Januari 2024, sekali gus tidak mematuhi kehendak Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga menolak hujahan titah berkenaan merupakan satu bentuk ‘respite’ yang tidak memerlukan nasihat Lembaga Pengampunan, memandangkan kandungannya tidak menunjukkan wujud keadaan mendesak.

“Sekiranya pengurangan hukuman boleh dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan, tidak ada alasan isu tahanan rumah tidak dibangkitkan sekali,” katanya, sambil menegaskan keadaan sedemikian boleh membuka ruang kepada keputusan bersifat arbitrari dan bercanggah dengan prinsip kepentingan awam.

Mahkamah turut memutuskan Titah Adendum tersebut tidak boleh dianggap sebagai perintah sah dalam konteks pelaksanaan prerogatif ihsan, justeru perintah mandamus tidak boleh dikeluarkan untuk memaksa pihak kerajaan melaksanakannya.

Hakim menegaskan, Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan hanya melaksanakan kuasa mengikut lunas dan had yang ditetapkan oleh Perlembagaan, dan sebarang pelaksanaan prerogatif ihsan mesti dibuat dalam kerangka undang-undang yang jelas.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *