Dari Meja Editorial
JIKA ada satu perkara yang jelas selepas keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan berkaitan Titah Adendum, ia adalah hakikat UMNO semakin selesa bermain politik emosi, walaupun realiti undang-undang dan logik sudah berkali-kali menjentik dahi mereka.
Apa yang berlaku bukan lagi soal keadilan atau maruah, tetapi demonstrasi keletihan idea dalam sebuah parti yang masih enggan menerima zaman kebal sudah lama berakhir.
Seruan Pemuda UMNO supaya Barisan Nasional menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan kedengaran dramatik, seolah negara ini akan lumpuh tanpa UMNO berada dalam kabinet.
Ironinya, ancaman itu datang daripada parti yang baharu semalam ditolak rakyat dalam pilihan raya dan kini bergantung sepenuhnya kepada ihsan politik rakan-rakan yang suatu ketika dahulu mereka cerca tanpa henti.
Istilah “pembangkang bermaruah” yang diulang-ulang itu juga semakin hambar. Ia sering dilaungkan setiap kali UMNO gagal mendapat apa yang diinginkan.
Namun, maruah jenis apakah yang dimaksudkan? Maruah yang goyah setiap kali keputusan mahkamah tidak memihak kepada tokoh tertentu? Atau maruah yang hanya hidup apabila sistem tunduk kepada tekanan politik?
Mahkamah telah menjelaskan dengan terang, tiada peruntukan undang-undang, tiada mekanisme sah, dan tiada pematuhan kepada Perlembagaan. Tetapi, dalam alam politik UMNO hari ini, hujah undang-undang nampaknya kurang bernilai berbanding retorik Facebook dan sorakan penyokong.
Kebenaran tidak lagi diukur melalui fakta, sebaliknya melalui siapa yang paling lantang menjerit.
Lebih sinis, kemarahan itu dialihkan kepada Kerajaan Perpaduan, seolah-olah kerajaan boleh mengarahkan hakim atau memulas Perlembagaan sesuka hati. Jika benar itu yang diharapkan, maka UMNO sebenarnya sedang merindukan era lama, era di mana kuasa politik boleh menekan institusi dan keputusan tidak perlu disandarkan kepada undang-undang. Persoalannya, adakah itu yang rakyat mahu UMNO kembali wakili?
Seruan agar PAU “digegarkan” pula kedengaran seperti skrip lama yang dimainkan berulang kali. Setiap tahun PAU digambarkan sebagai titik kebangkitan, namun selepas dewan ditutup dan sepanduk diturunkan, UMNO kembali ke titik asal, keliru, defensif dan sarat dengan konflik dalaman. Gegaran yang dijanjikan selalunya hanya kuat di dalam dewan, tetapi lemah di peti undi.
Serangan terhadap DAP, seperti biasa, menjadi jalan mudah. Apabila hujah semakin nipis, musuh lama dikeluarkan dari stor. Tidak mengapa walaupun DAP adalah rakan kerajaan hari ini; yang penting ada sasaran untuk menyedapkan ucapan.
Politik jenis ini mungkin menghangatkan sorakan penyokong tegar, tetapi bagi rakyat biasa, ia hanya mengesahkan satu perkara: UMNO belum belajar membezakan antara politik pembangkang dan politik pentadbiran.
Puteri UMNO pula bercakap soal maruah dan kepercayaan ahli, satu sentimen yang sukar disangkal. Namun kepercayaan tidak dibina dengan mengugut untuk menjatuhkan kerajaan setiap kali keputusan mahkamah tidak memihak.
Jika UMNO benar-benar mahu dihormati, ia perlu menunjukkan kematangan, menerima keputusan yang pahit, bukannya mencari kambing hitam untuk menutup kekecewaan sendiri.
Persoalan paling jujur yang gagal dijawab ialah ini: jika UMNO keluar kerajaan hari ini, apa pelannya esok? Dengan kekuatan parlimen yang mengecil, sokongan rakyat yang rapuh, dan naratif yang masih berputar di sekitar tokoh sama, UMNO bukan sedang bersedia untuk bangkit, UMNO sedang bersedia untuk menjerit dari tepi padang.
Isu Titah Adendum telah mendedahkan satu kebenaran pahit: UMNO bukan marah kerana keadilan gagal ditegakkan, tetapi kerana sistem enggan tunduk. Dan selagi parti ini memilih politik air mata berbanding politik pembaharuan, selagi itulah UMNO akan terus terperangkap dalam bayang-bayang masa silam yang mereka sendiri enggan lepaskan.
Dalam politik, jeritan boleh mengisi dewan. Tetapi hanya keinsafan yang boleh memenangi semula rakyat. Dan setakat ini, keinsafan itu masih gagal hadir.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
