Penjelasan Berasaskan Dokumen Penggunaan Gelaran ‘Doktor’ Dan Dakwaan Amalan Perubatan Oleh Menteri Belia

Oleh: Jais Abdul Karim

PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) berpandangan isu penggunaan gelaran “Doktor” Menteri Belia dan Sukan baharu yang kini diperdebatkan secara terbuka perlu ditangani berdasarkan fakta, dokumen dan kerangka undang-undang, bukan emosi atau kecenderungan politik.

Isu ini bukan soal siapa individu berkenaan dan bukan juga persoalan pelantikan politik. Ia adalah soal integriti sistem, pematuhan undang-undang dan keselamatan awam, khususnya dalam profesion perubatan melibatkan nyawa manusia.

Pertama, pendaftaran dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) adalah perkara asas dan boleh disahkan. Jika individu berkenaan pernah berdaftar, maka pendedahan butiran pendaftaran, termasuk nombor pendaftaran MMC, kategori pendaftaran dan status Sijil Amalan Tahunan (APC) akan menyelesaikan kekeliruan awam.

Sekiranya tiada pendaftaran, maka sebarang profil, CV atau naratif awam yang menggambarkan amalan perubatan di Malaysia wajar dibetulkan atau ditarik balik demi ketelusan.

Kedua, berdasarkan Jadual Kedua Akta Perubatan 1971, kelayakan perubatan daripada Universiti Islam Bandung tidak tersenarai sebagai kelayakan diiktiraf. Tanpa pengiktirafan atau laluan kelulusan ditetapkan oleh MMC, amalan perubatan di Malaysia adalah tidak dibenarkan di sisi undang-undang.

Ketiga, saya menegaskan, pelantikan sebagai Menteri adalah prerogatif kerajaan dan Perlembagaan, namun kejujuran dalam pengisytiharan kelayakan profesional tidak boleh dikompromi, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kepercayaan rakyat.

Pendirian MCW adalah jelas. Kami tidak menuduh, tetapi menuntut penjelasan berasaskan dokumen rasmi. Dalam negara berteraskan undang-undang, fakta menyelesaikan polemik dan dokumen menamatkan keraguan. Integriti bukan soal persepsi tetapi kepatuhan kepada kebenaran.

Jais Abdul Karim adalah Presiden MCW

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *