PAS Didakwa Mainkan Isu Perkauman Dalam Pelantikan Menteri, Kata Faiz Fadzil

KUALA LUMPUR – PAS didakwa terdesak memainkan isu perkauman dalam soal pelantikan anggota Jemaah Menteri apabila kepimpinan parti itu mempertikaikan pelantikan menteri berdasarkan latar belakang kaum, dan bukannya merit serta prestasi, kata Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil.

Menurut beliau, kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mengaitkan pelantikan Jemaah Menteri dengan sentimen kaum disifatkan sebagai tidak wajar dan berpotensi mencetuskan kebencian dalam kalangan masyarakat majmuk.

Katanya, sebagai parti berteraskan Islam, PAS seharusnya memperjuangkan perpaduan kaum dan bukannya memecah-belahkan rakyat.

Faiz turut menyelar tindakan Takiyuddin yang mempertikaikan pelantikan Hannah Yeoh sebagai Menteri Wilayah Persekutuan serta timbalannya hanya kerana latar belakang kaum mereka.

Selain itu, beliau berkata, seorang lagi menteri daripada DAP, Nga Kor Ming, turut menjadi sasaran apabila PAS memainkan naratif kononnya DAP menguasai Kuala Lumpur susulan pelantikan Nga sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau menegaskan, isu ini bukanlah perkara baharu, memandangkan sebelum ini seorang pemimpin PAS, Zaharudin Muhammad, juga didakwa memainkan sentimen kaum berhubung pelantikan Datuk Johnny Lim Eng Sen sebagai Leftenan Jeneral.

Menurut Faiz, tindakan berulang ini menunjukkan PAS masih bergantung kepada politik perkauman walaupun Islam menolak perjuangan berasaskan kaum.

Mengulas pelantikan Hannah Yeoh, Faiz berkata ia seharusnya dinilai berdasarkan merit dan rekod prestasi beliau sebagai menteri serta Ahli Parlimen.

Katanya, sokongan yang diterima Hannah Yeoh merentasi pelbagai kaum, selain mengingatkan bahawa Ahli Parlimen Segambut itu juga mewakili kawasan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, sekali gus menjadikan pelantikannya relevan dan bersesuaian.

Beliau turut mengingatkan PAS pernah menyokong pelantikan Hannah Yeoh sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor pada 2008, sekali gus menunjukkan percanggahan pendirian parti itu pada masa kini.

Dalam masa sama, Faiz menolak dakwaan DAP atau kaum Cina menguasai pentadbiran Kerajaan Madani.

Jelasnya, DAP hanya mempunyai lima orang menteri, iaitu sekitar 15 peratus daripada keseluruhan 32 anggota Kabinet, lebih rendah berbanding peratusan kerusi DAP di Parlimen.

Beliau menambah, sebarang dasar kerajaan, termasuk isu penting seperti Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA), perlu diputuskan secara kolektif oleh Jemaah Menteri yang majoritinya terdiri daripada menteri Melayu Islam, iaitu seramai 21 orang atau hampir 64 peratus daripada Kabinet.

Sehubungan itu, Faiz menyeru rakyat agar terus menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta menolak politik perkauman.

Menurutnya, Malaysia memerlukan kepimpinan yang menyatukan rakyat dan berpandangan jauh, bukan kepimpinan yang berterusan memainkan sentimen kebencian.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *