KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) melakar sejarah baharu apabila menjalin kerjasama strategik bersama 27 Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta sebagai usaha memperkukuh pelaksanaan agenda dakwah di peringkat nasional.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, inisiatif tersebut merupakan kerjasama terbesar pernah dilaksanakan oleh YADIM, melibatkan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) merangkumi pelbagai aspek seperti pembangunan modul, penerbitan bahan ilmiah, penulisan serta penggemblengan kepakaran akademik.
Menurut beliau, landskap semasa yang semakin mencabar dan kompleks memerlukan pendekatan dakwah yang lebih berasaskan penyelidikan serta panduan akademik supaya setiap usaha dapat dilaksanakan secara lebih terancang, berkesan dan memberi impak nyata kepada masyarakat.
“Melalui kolaborasi ini, kepakaran yang dimiliki oleh institusi pengajian tinggi dapat dimanfaatkan sepenuhnya agar pelaksanaan dakwah digerakkan berlandaskan ilmu dan selari dengan kehendak semasa,” katanya pada majlis MoU berkenaan di Masjid Wilayah, semalam.
Majlis itu turut disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Dr Zulkifli menjelaskan, hubungan YADIM dengan universiti telah lama terjalin, khususnya menerusi penglibatan mahasiswa, namun kerjasama kali ini dilihat lebih komprehensif kerana memberi fokus kepada penggunaan kepakaran akademik secara menyeluruh.
MoU yang dimeterai bagi tempoh antara tiga hingga lima tahun itu turut bertujuan memperkasa agenda dakwah selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai keilmuan, akhlak dan kesejahteraan sosial.
Antara institusi pengajian tinggi awam yang terlibat ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), manakala institusi swasta pula termasuk Universiti Selangor (UNISEL) serta Multimedia University (MMU).
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
Whatsapp: https://whatsapp.com/channel/0029Vb6P21QFnSz7JWoT560L
