Rombakan Kabinet: Percaturan Politik Yang Menenggelamkan Kepentingan Negara dan Rakyat

SHAH ALAM – Pas memandang serius rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, terutama pelantikan Hannah Yeoh dari DAP dan Lo Su Fui (GRS) sebagai Menteri dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

Selain pengekalan jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan di tangan seorang lagi pemimpin DAP, yang mana kebetulan ketiga mereka adalah dari latar belakang etnik yang sama.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, Wilayah Persekutuan – Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan – bukanlah wilayah atau portfolio biasa, sebaliknya mewakili jantung politik dan pentadbiran negara.

Justeru, katanya, pemusatan pentadbiran strategik bandar, kerajaan tempatan, perumahan dan pihak berkuasa tempatan di tangan pemimpin dari sebuah parti dan etnik boleh menimbulkan persoalan besar, sah dan tidak dapat dielakkan berkait isu ketidakseimbangan serta pemusatan kuasa melampau dan hala tuju sebenar pentadbiran negara.

“Lebih membimbangkan ialah persepsi meluas bahawa pelantikan yang dibuat tidak berlandaskan merit atau keperluan dasar, tetapi susulan tekanan dan tawar-menawar politik.

“PAS mengambil perhatian mengenai spekulasi ia berkait rapat dengan kata dua politik oleh DAP, termasuk ancaman parti itu untuk menarik diri daripada kerajaan sekiranya beberapa tuntutannya, termasuk pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah-sekolah persendirian Cina tidak dipenuhi.

“PAS beranggapan sekiranya jawatan kabinet digunakan sebagai “bunga emas” politik untuk mengekalkan sokongan dan kesetiaan mana-mana pihak, maka jelas ia merupakan hakisan serius terhadap idea dan institusi kerajaan berprinsip, sekali gus melemahkan integriti proses pembentukan serta penggubalan dasar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Takiyuddin, keadaan ini menimbulkan kebimbangan mendalam bahawa ia merupakan percaturan sengaja bagi mengukuhkan dominasi DAP di Kuala Lumpur dan pusat bandar utama lain di negara ini yang bertujuan membolehkan sebuah parti membentuk dan mewarnakan dasar perbandaran, penggunaan tanah, perumahan dan kerajaan tempatan tanpa proses semak imbang yang berkesan serta telus.

Ujar beliau, pemusatan kuasa sedemikian sudah pasti akan menimbulkan keresahan awam yang serius, terutama dengan kehadiran inisiatif undang-undang kontroversial seperti cadangan Akta Pembangunan Semula Bandar (URA) yang dilihat berpotensi meminggirkan kelompok penduduk bandar tertentu, terutama orang Melayu dan kumpulan berpendapatan rendah, termasuk potensi kehilangan hak milik mereka.

“Penerusan pendekatan pentadbiran yang dilihat mendahulukan percaturan dan kepentingan politik elit bandar dengan mengabaikan kepentingan dan sentimen sah rakyat akar umbi ini akan melebarkan jurang sengketa antara kumpulan-kumpulan dalam masyarakat dan juga antara wilayah dan lokaliti.

“Ini seterusnya akan menyumbang kepada kelunturan kesatuan kebangsaan negara,” katanya.

Dalam pada itu, kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu, PAS juga mendapati pelantikan beberapa menteri dan timbalan menteri lain turut menimbulkan keraguan serius berkait isu-isu kekananan, pengalaman, kompetensi, ketrampilan, kredibiliti dan kesesuaian.

Ia jelasnya, bukanlah lantikan ke jawatan dan peranan upacara, tetapi merupakan portfolio penting, sama ada melibatkan kepentingan generasi muda, ekosistem pendidikan mahupun hal-ehwal Islam dan sebagainya yang menuntut kematangan, kedewasaan, dan kebolehan yang terbukti.

“Tanpa justifikasi meyakinkan bagi menyokong rombakan kabinet dan pelantikan yang dibuat akan hanya memperkuatkan tanggapan bahawa kedudukan dalam kabinet telah diagih-agihkan mengikut selera dan nafsu politik, bukan kepentingan rakyat dan negara.

“Perlu diingatkan, kepimpinan bukanlah aktiviti mengatur bilangan anggota hanya untuk mengekalkan kuasa, sebaliknya merupakan eksesais yang berkait rapat dengan kepercayaan, kebijaksanaan dan tanggungjawab.

“Rombakan kabinet sepatutnya memulihkan keyakinan, bukan menyuburkan keraguan; menyembuh luka, bukan menggaraminya; merapatkan retak, bukan menambah belah; menggala bocor, bukan menebuk lunas,” kata beliau.

Kata Takiyuddin lagi, ia juga mesti menggambarkan kemajmukan masyarakat kita melalui perwakilan yang adil dan berkesan serta pelantikan berdasarkan merit, kedewasaan dan pandangan jauh.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *