JOHOR BAHRU – Aktivis grafik, Fahmi Reza kembali mencetuskan kontroversi apabila beberapa pemimpin negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil rakyat Johor tampil membuat laporan polis terhadap satu hantaran media sosial yang dikaitkan dengannya, yang didakwa menghina Institusi Diraja Johor.
Laporan polis berkenaan dibuat hari ini oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail @ Md On, selain disertai pelbagai pihak lain.
Menurut Aznan, kandungan hantaran terbabit yang memaparkan kenyataan dan visual bersifat provokatif bukan sahaja menyinggung perasaan rakyat Johor, malah berpotensi menimbulkan keresahan awam sekiranya tidak ditangani dengan tegas.
“Perbuatan sedemikian dilihat mencabar prinsip Raja Berperlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan boleh menjejaskan keharmonian, keselamatan serta kestabilan sosial,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau menambah, laporan polis dibuat susulan kenyataan yang dikaitkan dengan Fahmi Reza, yang didakwa menghasut serta menghina Pemangku Sultan Johor dan Institusi Diraja Johor.
Aznan turut menegaskan, Institusi Raja-Raja Melayu merupakan asas penting kepada perpaduan dan kestabilan negara, justeru sebarang cubaan merendahkan martabat institusi berkenaan tidak boleh diterima.
Difahamkan, laporan polis itu melibatkan penyertaan lebih 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor, Ketua-ketua UMNO Bahagian, Pergerakan Pemuda UMNO serta beberapa NGO dan persatuan belia di peringkat negeri dan daerah.
Ia bertujuan membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara menyeluruh serta mengambil tindakan mengikut undang-undang sedia ada, termasuk Akta Hasutan 1948.
Kontroversi itu tercetus susulan satu hantaran di Facebook yang tular semalam, dipercayai dimuat naik oleh individu menggunakan nama Fahmi Reza, yang mempersoalkan tindakan dan peranan Tunku Mahkota Johor (TMJ).
Hantaran tersebut menerima pelbagai reaksi, dengan majoriti pengguna media sosial mengecam kandungannya.
Sementara itu, PDRM Johor memaklumkan, siasatan kes berkenaan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman. Setakat ini, tiada kenyataan lanjut dikeluarkan berhubung perkembangan siasatan.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001
