Rombakan Kabinet Madani: Khianati Agenda Melayu dan Bumiputera

PUTRAJAYA – Rombakan Kabinet Kerajaan Madani yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam disifatkan sebagai satu keputusan politik yang mengecewakan dan wajar dipersoalkan secara terbuka, khususnya oleh orang Melayu dan Bumiputera.

Ketua Setiausaha Sekretariat Orang Melayu, Datuk Wira Marzuki Yahya berkata, pelantikan wakil daripada DAP ke portfolio strategik negara mencerminkan kegagalan kerajaan memahami sensitiviti, realiti dan sejarah pembinaan negara.

Menurut beliau, pelantikan Steven Sim Chee Keong sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Hannah Yeoh sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) menimbulkan kebimbangan serius kerana kedua-dua kementerian itu mempunyai peranan penting dalam agenda pemerkasaan ekonomi dan kebajikan masyarakat Melayu dan Bumiputera.

“Dua portfolio ini adalah nadi kepada usaha memperkukuh kedudukan ekonomi Melayu dan Bumiputera, bukannya medan eksperimen politik atau kompromi kuasa demi kelangsungan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Marzuki berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bukan sekadar mengurus bantuan atau latihan, sebaliknya berperanan membina daya saing serta melindungi kedudukan ekonomi usahawan Melayu dan Bumiputera yang masih ketinggalan.

Beliau berpandangan, penyerahan kementerian berkenaan kepada pimpinan parti yang sebelum ini sering mempersoalkan dasar afirmatif dan keistimewaan Melayu merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab dan dilihat bercanggah dengan semangat Perlembagaan Persekutuan.

Mengulas pelantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Marzuki berkata, jawatan itu mempunyai pengaruh besar terhadap isu perumahan, lesen perniagaan, penempatan penjaja, pembangunan bandar serta kebajikan masyarakat Melayu bandar yang semakin terpinggir.

“Rakyat berhak mempersoalkan sama ada agenda Melayu bandar akan terus dipertahankan atau dikorbankan atas nama kesamarataan yang tidak berpijak pada realiti semasa,” katanya.

Beliau turut menegaskan, isu tersebut tidak boleh dilihat semata-mata dari sudut profesionalisme atau kebolehan individu, sebaliknya melibatkan prinsip, kepercayaan dan hala tuju dasar negara.

Menurutnya, hak Melayu dan Bumiputera bukan hadiah politik, tetapi jaminan perlembagaan yang tidak boleh dirunding atau dikompromi dalam apa jua keadaan.

Marzuki turut mendakwa, rombakan Kabinet berkenaan menunjukkan Kerajaan Madani semakin tunduk kepada tekanan politik sehingga sanggup mengorbankan agenda nasional demi mengekalkan kuasa, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap komitmen kerajaan terhadap reformasi sebenar.

Beliau juga mengkritik kegagalan Perdana Menteri memberikan jaminan yang tegas dan khusus bahawa dasar berkaitan hak Melayu dan Bumiputera akan terus diperkukuh, sambil menyifatkan ketiadaan jaminan itu berpotensi membuka ruang kepada perubahan dasar secara berperingkat.

Sehubungan itu, beliau menggesa Perdana Menteri tampil memberikan jaminan bertulis dan terbuka bahawa semua dasar afirmatif berkaitan Melayu dan Bumiputera akan dikekalkan serta diperkukuh, selain memastikan tiada perubahan dasar melibatkan pembangunan usahawan, koperasi dan Wilayah Persekutuan dibuat tanpa rundingan awam.

“Kegagalan berbuat demikian hanya akan mengukuhkan persepsi bahawa Kerajaan Madani semakin jauh daripada denyut nadi rakyat dan kehilangan legitimasi moral untuk mentadbir,” katanya.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *