KUALA NERUS -Momentum sukan permotoran lasak pacuan empat roda yang kian meningkat di negeri Terengganu kini mencipta penanda aras baharu setelah diumumkan sebagai salah satu dari 13 acara utama dalam kalendar acara pelancongan Terengganu bagi tahun 2026.
Ia sekali gus berada di landasan yang terbaik sebagai usaha untuk menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang kini telah bermula.
Rentetan kejayaan penganjuran edisi kelima Terengganu 4×4 Merdeka Challenge yang berjaya menghimpunkan sebanyak 152 jentera lumba pacuan empat roda (4×4) melibatkan 304 peserta hampir dari seluruh negara yang berlangsung di Bandar Kuala Nerus Ogos lalu.
Penganjuran ini dilihat sebagai faktor utama untuk diiktiraf oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, sekali gus membuka dimensi baharu sebagai salah satu produk pelancongan melalui penganjuran sukan.
Menambah momentum, terkini pasukan GG 4×4 yang berpangkalan dari negeri ini juga turut telah melakar sejarah di pentas kejuaraan dunia setelah meraih podium tempat ketiga Rainforest Challenge Grand Final 2025 yang telah melabuhkan tirai di Gua Musang, Kelantan pada 10 Disember lalu.
“Sukan lasak pacuan empat roda di negeri Terengganu ini mempunyai sejarah panjang sejak beberapa generasi terdahulu dan kini telah diangkat sebagai salah satu produk pelancongan negeri, ini mencipta satu lembaran baharu buat semua komuniti mahupun penggiat sukan lasak 4×4 ini khususnya di Terengganu.
“Secara peribadi, saya tidak melihat pengiktirafan ini ianya bersifat eksklusif sepenuhnya kepada kami selaku penganjur, di mana sebenarnya ekosistem sukan ini di negeri Terengganu saling bekerjasama dengan lain-lain kelab mahupun komuniti sukan 4×4 untuk turut sama mengangkat sukan ini sebagai produk pelancongan negeri Terengganu,” ujar Muhammad Muzzammil Mokhetar.
Muhammad Muzzammil selaku pemegang taruh utama penganjuran Terengganu 4×4 Merdeka Challenge yang telah bermula sejak pada tahun 2023.
Mengulas lanjut, beliau yang juga merupakan Presiden Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT4x4) menjelaskan kunci kejayaan penganjuran selama ini adalah hasil kerjasama penganjuran dengan beberapa kelab tempatan seperti Kelab Terjoh! 4×4 Kuala Terengganu dan GG 4×4 yang hadir dengan pengalaman serta kepakaran masing-masing khususnya melibatkan teknikal penganjuran.
Seterusnya sebagai sebagai usaha untuk menarik lebih ramai jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini mahupun untuk mempromosikan sukan lasak pacuan empat roda ini di kalangan komuniti rekreasi, UT4x4 bersama beberapa kelab pacuan empat roda tempatan kini turut sedang merangka satu program ekspedisi sejauh 60 kilometer menempuhi hutan belantara di Hulu Terengganu.
Pada majlis sama turut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris.
Beliau melihat kerjasama strategik antara Jabatan Pelancongan Negeri dan Kebudayaan Negeri Terengganu bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tourism Malaysia memberi tambah nilai besar untuk turut sama menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) dengan pelbagai produk pelancongan dari negeri pantai timur ini.
Untuk rekod, Terengganu 4×4 Merdeka Challenge 2026 merupakan sebahagian dari 13 acara utama dan lebih dari 100 acara sampingan yang telah diumumkan dalam satu majlis yang telah berlangsung dengan penuh meriah di sebuah hotel di sini.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001