Relevan Lagikah Kepimpinan NGO PERKASA?

Dari Meja Editorial

PERSOALAN mengenai keberkesanan dan hala tuju sesebuah pertubuhan bukanlah isu remeh, apatah lagi apabila melibatkan sebuah organisasi yang ditubuhkan atas nama perjuangan bangsa dan kedaulatan negara.

Apa yang diluahkan oleh aktivis politik dan NGO, saudara Halim Tsas bukan sekadar luahan emosi, tetapi satu kritikan berasas yang wajar diberi perhatian serius oleh seluruh ahli dan kepimpinan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Hakikatnya, PERKASA hari ini tidak lagi berada pada kedudukan seperti mana pada peringkat awal penubuhannya. Dahulu, PERKASA dikenali sebagai sebuah pertubuhan yang lantang, berani dan tegas dalam memperjuangkan hak-hak orang Melayu dan Bumiputera. Namun, realiti semasa menunjukkan taring dan pengaruh PERKASA semakin pudar.

Salah satu petunjuk paling jelas terhadap kemerosotan ini ialah kehilangan sokongan ahli-ahli PERKASA sendiri serta masyarakat Melayu secara umum. Pertubuhan yang kuat seharusnya digerakkan oleh sokongan akar umbi yang kukuh, bukan sekadar bergantung kepada nama atau sejarah lampau.

Apabila ahli semakin menjauh dan masyarakat tidak lagi melihat PERKASA sebagai wadah perjuangan yang relevan, maka ini adalah isyarat jelas bahawa sesuatu perlu diperbetulkan.

Antara punca utama keresahan ahli ialah penglibatan langsung Presiden PERKASA dalam politik kepartian. Walaupun setiap individu mempunyai hak politik, namun seorang presiden NGO yang ditubuhkan untuk memperjuangkan kepentingan Melayu secara menyeluruh perlu mengekalkan kebebasan, neutraliti dan kewibawaan.

Apabila presiden dilihat terlalu cenderung kepada politik tertentu, PERKASA tidak lagi dilihat sebagai suara bebas orang Melayu, sebaliknya dianggap sebagai alat atau sekutu kepada agenda politik tertentu.

Ini bercanggah dengan semangat asal penubuhan PERKASA sebagai pertubuhan bukan parti yang memperjuangkan kepentingan Melayu tanpa mengira fahaman politik.

Lebih membimbangkan, presiden PERKASA secara terbuka dilihat bersama kumpulan yang sering mengkritik parti dan kepimpinan yang sedang berusaha ke arah penyatuan Melayu dan bangsa.

Dalam keadaan orang Melayu berhadapan dengan pelbagai cabaran ekonomi, sosial dan politik, sebarang usaha penyatuan seharusnya disokong, bukan dilemahkan.

Tindakan sedemikian bukan sahaja mengelirukan ahli-ahli PERKASA, malah menjejaskan kredibiliti pertubuhan itu sendiri.

PERKASA ditubuhkan dengan tujuan yang jelas, iaitu memperjuangkan dan mempertahankan hak-hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera; memartabatkan kedudukan ekonomi, sosial, pendidikan dan budaya Melayu; serta mempertahankan kedaulatan negara.

Namun, peranan ini dilihat semakin luntur apabila kepimpinan tertinggi gagal memahami asas penubuhan PERKASA dan keperluan sebenar NGO itu dalam bersuara. Suara yang sepatutnya tegas dan berprinsip kini kelihatan tidak konsisten, selektif dan kadangkala tersasar daripada matlamat asal.

Dalam keadaan ini, ahli-ahli PERKASA serta kepimpinan di semua peringkat tidak boleh berdiam diri. Mereka memikul tanggungjawab moral dan organisasi untuk memastikan PERKASA kembali berada pada landasan sebenar sebagaimana yang termaktub dalam asas penubuhannya.

Kesetiaan kepada pertubuhan bukan bermakna membuta tuli mempertahankan kepimpinan, tetapi berani bertindak demi menyelamatkan perjuangan.

Sekiranya kepimpinan sedia ada, khususnya presiden, gagal mengembalikan PERKASA kepada tujuan asal dan terus menimbulkan perpecahan serta kehilangan sokongan, maka ahli-ahli wajar mendesak presiden meletakkan jawatan secara terhormat.

Mesyuarat Agung PERKASA pada 20 Disember ini seharusnya menjadi medan muhasabah dan pembetulan. Jika benar masih sayangkan PERKASA, maka kepentingan pertubuhan mesti didahulukan daripada kepentingan individu.

PERKASA bukan milik mana-mana individu. Ia adalah milik perjuangan Melayu dan Bumiputera. Jika kepimpinan hari ini tidak lagi mampu memikul amanah tersebut, maka perubahan adalah satu keperluan, bukan pilihan.

Menyelamatkan PERKASA bermakna mengembalikannya kepada roh perjuangan asal iaitu tegas, bebas, berprinsip dan benar-benar membela nasib orang Melayu. – ND

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

2 thoughts on “Relevan Lagikah Kepimpinan NGO PERKASA?

  1. Nampaknya pihak editor tidak kenal dan tidak ikuti perkembangan Presiden Perkasa yg baru. Saya tuntut keadilan utk siarkan respon saya terhadap kritikan Sdr. Halim Tass yg sebenarnya saya tak mahu layan tapi bila editor National Daily boleh bersetuju dengan pandangan seorang yang useless tidak ada hala tuju hidup itu, saya perlu menjawabnya. Maklumkan segera pihak ND sedia siaran sepenuhnya artikel saya tanpa diedit bagi menjawab kritikan Halim Tass, saya akan emel segera. Tk.

    1. Pihak Nasional Daily mengambil maklum teguran yang disuarakan oleh saudara berhubung penyiaran pandangan seorang individu bernama Halim Tsas, yang mengkritik kredibiliti kepimpinan Perkasa. Sebagai organisasi media, kami ingin menegaskan bahawa peranan kami adalah menyediakan ruang wacana awam yang adil, seimbang dan bertanggungjawab, selaras dengan prinsip kebebasan bersuara serta etika kewartawanan.

      Penulisan yang disiarkan sebelum ini merupakan pandangan individu dan tidak mencerminkan pendirian atau sikap Editorial Nasional Daily terhadap mana-mana pertubuhan atau kepimpinannya. Dalam landskap demokrasi yang sihat, pandangan kritikal — selagi disampaikan tanpa fitnah dan berlandaskan kepentingan awam — wajar diberi ruang untuk dibaca dan dinilai oleh masyarakat.

      Sehubungan itu, pihak kami sentiasa terbuka dan bersedia, pada bila-bila masa, untuk menyiarkan jawapan balas atau penjelasan rasmi daripada saudara bagi memastikan keseimbangan laporan serta memberi hak menjawab kepada pihak yang terlibat. Pendekatan ini selaras dengan amalan profesional media yang mengutamakan keadilan, ketelusan dan tanggungjawab kepada pembaca.

      Kami percaya sebarang perbezaan pandangan wajar ditangani melalui saluran yang matang dan profesional, termasuk dengan mengemukakan penjelasan atau respons balas secara terbuka, bukan melalui teguran sepihak yang boleh ditafsirkan sebagai menafikan peranan media sebagai platform wacana awam.

      Nasional Daily kekal komited untuk melaporkan isu-isu semasa secara berimbang, memberi ruang kepada pelbagai suara, dan pada masa yang sama menghormati hak mana-mana individu atau organisasi untuk menjawab serta mempertahankan pendirian mereka. Terima kasih atas perhatian dan kami menantikan sebarang maklum balas rasmi untuk pertimbangan dan siaran selanjutnya. Saudara boleh hantar kenyataan balas melalui talian admin nasionaldaily 012-9222001. Pihak kami akan menyiarnya. Terima kasih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *