PAS Islam Sangatkah? Menjawab Kekeliruan Dengan Fakta dan Prinsip

Oleh: Idris Ahmad

PERSOALAN sama ada PAS “Islam” atau “Islam sangat” sering dimainkan oleh pihak tertentu, sama ada atas dasar kejahilan, salah faham atau sentimen kebencian politik.

Justeru, penjelasan ini perlu dibuat secara tenang, berfakta dan berlandaskan prinsip Islam itu sendiri agar masyarakat dapat menilai dengan adil.

Pertama sekali perlu ditegaskan dengan jelas: PAS bukan Islam, dan Islam bukan PAS. Islam adalah agama wahyu yang sempurna, manakala PAS hanyalah sebuah organisasi politik yang dijadikan kenderaan atau alat untuk berjuang menegakkan ajaran Islam dalam ruang kenegaraan dan masyarakat di Malaysia.

Menyamakan PAS dengan Islam secara mutlak adalah tidak tepat, sebagaimana menolak PAS atas alasan kelemahan manusia juga tidak boleh disamakan dengan menolak Islam itu sendiri.

PAS secara terbuka dan konsisten menyatakan, dasar perjuangannya ialah Islam. Jika ada pihak lain mendakwa dasar mereka juga Islam, PAS tidak melihatnya sebagai satu masalah.

Islam bukan hak eksklusif mana-mana parti atau individu. Bahkan, PAS mengalu-alukan sesiapa sahaja untuk memperjuangkan nilai-nilai Islam dengan cara yang benar.

Yang membezakan ialah kesungguhan, kejujuran dan konsistensi dalam pelaksanaan, bukan sekadar slogan.

Apa yang ingin ditegaskan ialah PAS berusaha melaksanakan Islam sekadar kemampuan yang ada, selaras dengan realiti perlembagaan, sistem pemerintahan dan kedudukan PAS sebagai parti yang berfungsi dalam kerangka demokrasi.

Islam sendiri mengajar prinsip istita‘ah (kemampuan). PAS tidak pernah mendakwa mampu melaksanakan Islam secara sempurna, tetapi berusaha melangkah sejauh yang termampu tanpa menggadaikan prinsip.

PAS tidak pernah mendewakan pemimpinnya. Pemimpin PAS bukan maksum. Mereka manusia biasa yang tidak terlepas daripada kesilapan dan kekhilafan. Perbezaannya ialah PAS meletakkan ulama, ilmu dan teguran sebagai asas pembetulan, bukan kepentingan peribadi atau kuasa semata-mata.

Walaupun tidak sempurna, PAS secara konsisten mengajak masyarakat menyembah Allah dan mencintai Rasulullah SAW; menggalakkan penuntutan ilmu; menghidupkan budaya solat berjemaah; mendidik masyarakat menutup aurat; pemimpin PAS menjaga batas pergaulan, tidak bersalaman antara lelaki dan perempuan; serta isteri-isteri pemimpin PAS menutup aurat dengan sempurna sebagai contoh kepada masyarakat

Ini bukan kosmetik politik, tetapi budaya yang hidup dalam parti. Empat Menteri Besar daripada PAS telah mengharamkan perjudian di negeri masing-masing.

Bahkan, kerajaan Kedah pernah disaman oleh syarikat judi kerana ketegasan tidak membenarkan operasi perjudian. Tindakan ini membuktikan PAS tidak sekadar bercakap soal Islam, tetapi melaksanakannya apabila diberi mandat.

Pemimpin PAS memberikan kuliah secara terbuka, dirakam dan disiarkan secara langsung. Jika ajaran yang disampaikan itu sesat atau menyimpang, pihak berkuasa agama pasti akan bertindak dan masyarakat juga tidak akan mengikutinya.

Lebih penting, tidak pernah berlaku pemimpin PAS memberi kuliah agama di masjid, kemudian terlibat dengan hiburan melampau, pergaulan bebas atau tingkah laku bercanggah dengan Islam. Inilah beza antara memperjuangkan agama dan menunggang agama.

Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah majoriti lulusan agama, dari pondok, sekolah agama, tahfiz hingga universiti dalam dan luar negara menyokong PAS; dalam silibus pendidikan mereka, tidak pernah diajar nama PAS, tetapi nilai dan kefahaman yang diajar selari dengan perjuangan PAS; dan majoriti Tuan Guru dan pemilik pondok di Malaysia juga menyokong PAS, walaupun pondok bukan milik PAS.

Mustahil para alim ulama yang mendalami hukum-hakam Islam tersilap secara beramai-ramai tanpa sedar.

Jika PAS menyimpang daripada Islam, mustahil golongan profesional dan cendekiawan terus menyokong serta keahlian PAS terus bertambah setiap bulan.

Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: Umatku tidak akan berhimpun di atas kesesatan selama-lamanya.

Jika PAS membawa ajaran menyeleweng, sudah lama PAS ditinggalkan. Sebaliknya, setiap bulan tidak kurang 1,000 ahli baharu menyertai PAS. Terbaharu, 4,631 ahli diluluskan dalam Mesyuarat PAS Pusat pada 13 Disember lalu.

Mana mungkin kumpulan sesat berkembang maju dan diterima masyarakat secara berterusan.

PAS bukan Islam; Islam bukan PAS; namun, PAS berusaha sebaik mungkin mengikut panduan Islam dan dipandu oleh ulama. PAS wajar dinilai dengan neraca al-Quran dan Hadis, bukan dengan emosi, kebencian atau dengki politik.

Jika parti lain mahu mendakwa mereka juga parti Islam silakan, penilaian akhir milik Allah, bukan PAS. Jika terdapat kesilapan dan kekhilafan dalam PAS dan kalangan pemimpinnya, itu adalah sifat manusia yang serba kekurangan. Namun, insya-Allah pemimpin PAS tidak melakukan dosa besar dan kemungkaran yang nyata serta sentiasa terbuka kepada teguran dan pembaikan.

Semoga Allah memberi hidayah dan keadilan kepada semua. – ND

Idris Ahmad ialah Naib Presiden Pas yang juga Pesuruhjaya Pas Perak

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *