Dari Meja Editorial
SATU kejadian tembakan di Bondi Beach, Sydney semalam, 14 Disember 2025, sudah cukup untuk menggemparkan dunia. Media antarabangsa menyiarkan berita tanpa henti, pemimpin dunia segera mengeluarkan kenyataan dan masyarakat global bersatu mengecam keganasan tersebut.
Dunia panik, dunia marah, dunia bersedih dan itu wajar kerana satu nyawa yang terancam tetap bernilai besar. Namun, persoalan yang membakar jiwa ialah mengapa kepekaan itu seolah hilang apabila mangsa adalah umat Islam?
Pada petang Ahad itu, suasana ceria di Bondi Beach yang dipenuhi gelak tawa dan perayaan Hanukkah bertukar menjadi mimpi ngeri. Bunyi tembakan memecah ketenangan, mencetuskan huru-hara apabila dua penyerang bersenjata melepaskan tembakan rambang ke arah ribuan orang awam yang berkumpul di Archer Park.
Jeritan ketakutan bergema. Ibu bapa memeluk anak-anak sambil berlari menyelamatkan diri. Orang ramai bertempiaran mencari perlindungan. Dalam situasi hidup dan mati seperti ini, naluri manusia hanya satu: lari sejauh mungkin daripada bahaya.
Namun, di tengah kekacauan itu, muncul seorang lelaki yang memilih jalan berbeza. Dia tidak lari menjauh. Dia berlari ke arah muncung senjata.
Namanya Ahmed al-Ahmed.
Dia bukan anggota polis. Bukan askar. Bukan pasukan khas. Dia cuma seorang lelaki berusia 43 tahun, seorang bapa, pemilik kedai buah-buahan di Sutherland. Dia tidak memakai jaket kalis peluru, tidak memegang sebarang senjata. Yang dia miliki hanyalah keberanian luar biasa dan naluri kemanusiaan yang tulus.
Rakaman video yang kini tular di seluruh dunia memperlihatkan detik luar biasa itu. Ketika penyerang sedang leka, Ahmed menyelinap dari belakang sebuah kereta yang diparkir, lalu menerkam salah seorang penyerang. Dengan kudrat seorang bapa dan tekad seorang manusia, dia mengunci leher penyerang itu, menjatuhkannya ke tanah dalam pergelutan yang mendebarkan.
Dalam keadaan amat berbahaya, Ahmed berjaya merampas senjata api jenis rifle dan menghalakannya semula ke arah penyerang, memaksa suspek berundur. Tindakan itu menyelamatkan ramai orang awam daripada menjadi mangsa seterusnya.
Namun, keberanian itu dibayar dengan harga yang mahal. Ahmed ditembak dua kali, di bahagian lengan dan bahu. Walaupun cedera dan bermandikan darah, dia tetap bertahan sehingga senjata penyerang berjaya dilucutkan. Polis kemudiannya mengesahkan tindakan Ahmed telah menyelamatkan banyak nyawa.
Hari ini, dunia mengangkat Ahmed al-Ahmed sebagai wira. Pemimpin negara besar memuji keberaniannya. Media antarabangsa menyanjung tindakannya. Tidak ada yang mempertikaikan agamanya. Tidak ada yang mempersoalkan bangsanya. Yang dilihat hanyalah seorang penyelamat.
Dan di sinilah ironi dunia moden terserlah dengan begitu ketara.
Serangan di Sydney menyasarkan penganut Yahudi dan dunia bersuara lantang. Tetapi apabila tentera Zionis menyerbu masjid, mengebom tempat ibadah umat Islam, membunuh jemaah yang sedang sujud, membunuh kanak-kanak, wanita dan orang awam di Palestin, dunia sering memilih untuk diam.
Apabila darah tumpah di Bondi Beach, ia dipanggil tragedi kemanusiaan.
Apabila darah tumpah di Gaza, ia sering dilabel “konflik”, “pertahanan diri”, atau lebih kejam lagi, dinormalisasikan.
Inilah kemunafikan yang menyakitkan hati.
Yang lebih menyentuh perasaan, lelaki yang menggadaikan nyawanya untuk melindungi penganut Yahudi di Sydney adalah seorang Muslim. Sedangkan di Palestin, umat Islam dibunuh, dihalau dan dizalimi atas nama ideologi Zionis, sering dengan sokongan senyap atau terbuka kuasa besar dunia.
Ketika Ahmed melihat orang ditembak, dia tidak bertanya, “Kamu agama apa?”
Dia tidak bertanya, “Bangsa apa kamu?”
Dia hanya nampak nyawa manusia dalam bahaya.
Inilah Islam yang sebenar. Islam yang mengangkat nilai kemanusiaan mengatasi kebencian.
Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ma’idah ayat 32:
“Dan sesiapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan seluruh manusia.”
Sepupu Ahmed, Mustafa memberitahu, Ahmed langsung tidak mempunyai pengalaman menggunakan senjata. Dia bertindak sepenuhnya berdasarkan naluri dan rasa tanggungjawab untuk melindungi orang lain. Dia boleh sahaja memilih untuk selamatkan diri, pulang ke rumah dan memeluk anak-anaknya. Tetapi dia memilih jalan sukar, jalan pengorbanan.
Ironinya, umat Islam sering digambarkan sebagai ganas, ekstrem dan berbahaya. Tetapi di Bondi Beach, wajah yang menyelamatkan nyawa adalah wajah Islam. Sedangkan, wajah yang menghancurkan masjid, hospital dan rumah orang awam di Palestin, itulah wajah keganasan sebenar, walaupun sering cuba diputihkan oleh propaganda.
Kisah Ahmed al-Ahmed bukan sekadar kisah keberanian. Ia adalah cermin besar yang memaksa dunia melihat semula nilai yang kononnya mereka junjung. Nyawa siapa yang dianggap penting? Darah siapa yang layak ditangisi?
Bagi kita, Ahmed adalah bukti hidup bahawa keganasan tidak mempunyai agama, tetapi kemanusiaan juga tidak mengenal sempadan. Zionisme yang menindas bukan wakil agama Yahudi, sebagaimana Ahmed bukan sekadar wakil Islam, dia wakil nilai kemanusiaan sejagat.
Marilah kita mendoakan agar Ahmed al-Ahmed segera sembuh dan kembali ke pangkuan keluarganya. Dan dalam masa yang sama, jangan kita berhenti bersuara untuk mereka yang dizalimi, tetapi tidak diberi mikrofon oleh dunia.
Terima kasih, Ahmed. Anda bukan sahaja menyelamatkan nyawa di Sydney, tetapi juga membuka mata dunia, di saat kebencian cuba memecahbelahkan, keberanian seorang manusia biasa mampu menjadi cahaya di tengah kegelapan.
Semoga kisah ini mengingatkan kita: jangan menilai manusia melalui label dan jangan membisu apabila kezaliman berlaku, walau ke atas siapa sekalipun. – ND
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001