Anwar Ibrahim Sampaikan Takziah, Tegaskan Tiada Toleransi Terhadap Keganasan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita dan simpati mendalam kepada keluarga mangsa tragedi serangan di Sydney, selain mendoakan agar semua yang cedera diberikan kesembuhan segera.

Menerusi satu hantaran di Facebook, beliau menyatakan rasa terkejut dan sedih terhadap insiden ganas itu yang telah meragut nyawa orang awam tidak berdosa serta mencederakan ramai pihak lain.

Perdana Menteri turut mengecam sekeras-kerasnya serangan berkenaan dengan menyifatkan keganasan terhadap orang awam sama sekali tidak boleh diterima, apatah lagi jika serangan dilakukan dengan niat menyasarkan individu berdasarkan latar belakang kaum atau agama.

Beliau menegaskan, perbuatan sedemikian tidak mempunyai sebarang justifikasi dan bertentangan dengan nilai mana-mana agama atau kepercayaan.

Anwar turut menyatakan solidariti Malaysia bersama rakyat dan kerajaan Australia dalam menghadapi saat sukar ini, selain menyokong penuh segala usaha pihak berkuasa untuk mengenal pasti serta membawa pelaku ke muka pengadilan mengikut undang-undang.

Terdahulu, laporan media antarabangsa memetik Premier New South Wales, Chris Minns, mengesahkan sekurang-kurangnya 16 orang terkorban dalam insiden tembakan di Bondi Beach, Sydney pada Ahad malam.

Sementara itu, Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, menyifatkan kejadian tersebut sebagai sesuatu yang mengejutkan, manakala Minns menggambarkannya sebagai tragedi yang amat menyayat hati.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *