Sarawak Susun Hala Tuju Baharu Industri, Sasar Teknologi Tinggi dan Ekonomi Rendah Karbon

KUCHING – Sarawak sedang melangkah ke fasa baharu pembangunan ekonomi apabila kerajaan negeri bersedia merangka semula strategi taman perindustrian dengan penekanan terhadap industri masa depan, teknologi tinggi serta ekonomi rendah karbon, sejajar tuntutan era ekonomi moden.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perubahan pendekatan itu dipacu oleh pengalaman dan pendedahan diperoleh hasil lawatan kerja ke Suzhou, China, khususnya selepas meneliti kejayaan pembangunan Taman Perindustrian Suzhou yang kini diiktiraf sebagai antara model perindustrian paling berjaya di dunia.

Menurut beliau, pertemuan dengan pihak berkuasa pentadbiran Suzhou membuka ruang perbincangan mendalam mengenai potensi kerjasama strategik antara bandar itu dengan kawasan perindustrian baharu yang dicadangkan di Sarawak.

Projek berkenaan, katanya, dirancang untuk dibangunkan bersama rakan kongsi strategik dari China, iaitu China Jiangsu International Economic Technology Cooperation Group Ltd (CJI).

“Taman Perindustrian Suzhou bermula sebagai usaha sama antara Singapura dan China kira-kira 30 tahun lalu.

“Daripada sebuah perkampungan kecil, ia berkembang menjadi taman perindustrian moden dan akhirnya sebuah bandar lengkap dengan kemudahan serta zon perindustrian bertaraf antarabangsa,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Abang Johari berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja ke ibu pejabat GCL Group di Suzhou pada Jumaat, yang turut memberi gambaran jelas tentang keperluan menyesuaikan pembangunan perindustrian dengan realiti ekonomi global semasa.

Beliau menegaskan, Sarawak kini sedang bergerak ke arah ekonomi moden, justeru pendekatan lama tidak lagi sesuai untuk membangunkan kawasan perindustrian masa depan.

Sebaliknya, kata beliau, pembangunan tersebut perlu dirancang selari dengan keperluan ekonomi baharu yang lebih berdaya saing dan lestari.

“Suzhou mewakili satu era pembangunan tertentu, manakala Sarawak akan membangunkan kawasan perindustriannya dalam era yang berbeza. Oleh itu, strategi dan pendekatan yang diambil juga perlu disesuaikan dengan perubahan zaman,” katanya.

Menurut beliau, teras utama pembangunan perindustrian masa depan di Sarawak ialah penggunaan teknologi tinggi dan prinsip rendah karbon, dengan memanfaatkan sepenuhnya sumber gas asli negeri sebagai tenaga lebih bersih untuk menyokong industri mesra alam.

Abang Johari turut memaklumkan bahawa satu mesyuarat khas akan diadakan sebaik beliau kembali ke Sarawak bagi memperincikan lagi cadangan serta strategi pembangunan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, kawasan Tanjung Embang di Bahagian Samarahan dikenal pasti sebagai lokasi berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab teknologi maju, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), dengan sokongan infrastruktur yang kukuh serta sumber sedia ada di negeri ini.

Mengulas potensi pasaran, beliau berkata jika Suzhou dibangunkan bagi memenuhi keperluan pasaran China yang berpenduduk sekitar 800 juta orang ketika itu, Sarawak pula merancang taman perindustriannya untuk menyasarkan pasaran ASEAN yang juga berjumlah kira-kira 800 juta penduduk, sekali gus membuka ruang lebih luas untuk menembusi pasaran antarabangsa di luar rantau ini.

Langkah berani ini dilihat sebagai usaha strategik Sarawak untuk muncul sebagai pemain utama dalam ekonomi hijau dan teknologi tinggi di peringkat serantau.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *