Isu UEC Perlu Selari Perlembagaan, Sejarah Negara Tidak Boleh Dipinggirkan – J-KOM

TAIPING – Sebarang cadangan atau usaha berkaitan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) perlu diteliti secara berhati-hati, tidak boleh menyimpang daripada kerangka Perlembagaan Persekutuan, tegas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop.

Beliau menegaskan, Perlembagaan merupakan asas pembentukan negara dan menjadi dokumen tertinggi yang mengikat seluruh rakyat sebagai satu kesatuan bangsa.

Justeru, katanya, mana-mana pihak mengemukakan cadangan berkaitan isu sensitif seperti UEC perlu memahami latar belakang sejarah kenegaraan serta proses yang membawa kepada pembentukan Perlembagaan negara.

“Apa sahaja perkara yang hendak dilaksanakan, jangan sekali-kali terkeluar daripada apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan. Perlembagaan itulah yang menjadi asas dan penyatu kepada rakyat Malaysia berbilang kaum dan latar belakang,” katanya ketika mengulas desakan segelintir pihak supaya kerajaan mengiktiraf UEC.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Peluncuran dan Penyerahan Kampung Angkat MADANI J-KOM di Surau Aziziah, Kampung Sungai Mati, di sini, pada Sabtu.

Menurut Ismail, semua perkara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati dan difahami dalam konteks sebenar, termasuk peruntukan berkaitan kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan serta Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara.

“Perlembagaan menetapkan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, namun agama lain tetap bebas untuk diamalkan. Begitu juga Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Persekutuan, tetapi bahasa lain tidak dihalang untuk dipelajari. Prinsip ini menunjukkan keseimbangan yang telah lama dipersetujui,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa sebarang perbincangan atau tuntutan berkaitan pendidikan dan bahasa perlu kekal dalam jalur yang sama, tanpa mencabar atau menafikan asas-asas yang telah dipersetujui sejak pembentukan negara.

“Bagi saya, apa pun yang hendak dibahaskan atau diperjuangkan, jangan terkeluar daripada landasan Perlembagaan. Itulah sempadan yang perlu kita hormati bersama,” katanya lagi.

Kenyataan Ismail itu selari dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang pada Jumaat menegaskan bahawa sebarang tuntutan yang menyentuh sensitiviti agama, bangsa dan kaum mesti mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa prinsip berkaitan kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan akan terus didukung dan dipertahankan, selaras dengan semangat Perlembagaan serta usaha mengekalkan keharmonian dalam masyarakat majmuk negara ini.

Isu pengiktirafan UEC terus menjadi topik perdebatan awam, namun kenyataan terbaharu ini memperlihatkan pendirian kerajaan bahawa sebarang keputusan mesti berpaksikan Perlembagaan demi menjaga kestabilan dan perpaduan nasional.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *