Angka korban kebakaran bangunan pejabat di Jakarta meningkat kepada 22 orang

JAKARTA – Seramai 22 orang disahkan terkorban dalam kebakaran di bangunan pejabat Terra Drone di Jakarta Pusat semalam, menurut pihak berkuasa tempatan.

Xinhua melaporkan, pegawai kanan Jabatan Penerangan Pejabat Bomba Jakarta Pusat Dwi Septianto sebagai berkata, 29 jentera bomba dan 101 anggota dikerahkan memadam kebakaran itu.

“Kami segera bergegas ke lokasi selepas menerima maklumat mengenai kebakaran pada jam 12.43 tengah hari,” katanya sambil menambah kebakaran itu dipercayai berpunca daripada sebuah bateri di tingkat pertama bangunan berkenaan.

“Di bangunan itu, bateri litium untuk dron dihasilkan. Mangsa mungkin telah menghidu asap daripada bahan bateri yang terbakar,” kata Septianto.

Beliau memaklumkan, kebakaran itu berjaya dikawal pada jam 5.05 petang waktu tempatan dan semua tingkat telah diperiksa.

Ketua Agensi Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Jakarta Isnawa Adji berkata, mangsa adalah tujuh lelaki dan 15 wanita.

“Seramai 22 orang disahkan maut, manakala 54 yang lain terselamat. Angka mangsa mungkin berubah,” katanya kepada Xinhua melalui telefon, sambil menambah 18 anggota agensi terlibat dalam operasi pemindahan.

Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Polis Kramat Jati di Jakarta Timur. – BERNAMA

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *