NAKHON PATHOM, THAILAND – Persiapan Thailand untuk menganjurkan acara sepaktakraw pada Sukan SEA ke-33 menerima pujian tinggi apabila sidang media rasmi pertama ASTAF selesai berlangsung hari ini di venue pertandingan, disertai barisan kepimpinan tertinggi sukan serantau.
Hadir dalam sidang media ialah Presiden ISTAF, Boonchai Lorphipat; Setiausaha Agung ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader (AHK); Timbalan Setiausaha Agung, Muhammad Fariq Abdul Halim; serta Pengurus Venue, Veradith.
Dalam ucapan utama, AHK menzahirkan penghargaan kepada Thailand atas persiapan rapi yang dilakukan, sambil menyifatkan tahap fasiliti dan kelengkapan teknikal tahun ini sebagai antara yang terbaik pernah beliau saksikan sejak lebih dua dekad penglibatan dalam Sukan SEA.

“Venue dan teknikal dipersiapkan dengan sempurna. Ini antara persiapan terbaik dalam sejarah Sukan SEA,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pegawai teknikal dan ITO agar terus mendukung Thailand sebagai tuan rumah dan memastikan undang-undang pertandingan ditegakkan tanpa kompromi.
Presiden ISTAF, Boonchai, turut menegaskan keyakinan penuh terhadap kemampuan Thailand menganjurkan acara sepaktakraw bertaraf dunia.
Beliau menyorot beberapa kelebihan utama termasuk perkampungan atlet hanya lima minit dari venue dengan kemudahan setaraf hotel lima bintang, sistem keselamatan dipantau pihak berkuasa Thailand pada standard seakan Olimpik, dan kad akreditasi mematuhi piawaian Asia dan Olimpik.
“Kami percaya venue ini bukan hanya terbaik untuk Thailand, tetapi antara terbaik dalam sejarah Sukan SEA,” katanya.

Thailand turut menyusun jadual secara strategik dengan sepaktakraw membuka tirai pertandingan pada hari pertama dan berlangsung hingga hari terakhir temasya.
AHK memuji penyediaan majalah rasmi kejohanan yang merangkumi profil pemain, data pengadil, jadual perlawanan dan susunan kumpulan yang komprehensif. Beliau turut menegaskan bahawa kebajikan pegawai akan menjadi keutamaan sepanjang temasya.
Pengurus Venue, Veradith, memberi jaminan tahap keselamatan berada pada kelas tertinggi dengan pemantauan CCTV di seluruh kawasan pertandingan, penyediaan liaison officer untuk setiap pasukan dan talian kecemasan yang beroperasi 24 jam.
“Kami sedia membantu bila-bila masa. Doakan kejohanan ini berjalan dengan cemerlang,” katanya.
Wakil Thailand Association of Takraw (TAT), Soopon, menutup sidang media dengan keyakinan semua delegasi akan berpuas hati sepanjang berada di Bangkok dan Nakhon Pathom, sambil memberi komitmen untuk menangani sebarang isu yang timbul secara cepat dan profesional.
Sidang media itu menyimpulkan kesiapsiagaan Thailand sebagai tuan rumah serta tekad ASTAF dan ISTAF untuk menjulang sepaktakraw sebagai sukan teras Asia Tenggara.
Dilaporkan oleh ASTAF News Desk SEA Games XXXIII | Nakhon Pathom, Thailand kepada Portal NasionalDaily.
Telegram: https://t.me/nasionaldaily
Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily
TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1
Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001