SEA Games 2025: AHK Tegaskan Integriti dan Disiplin Penentu Masa Depan Sepaktakraw Serantau

NAKHON PATHOM – Pengadil serta pegawai teknikal sepaktakraw dan chinlone diingatkan agar mengekalkan integriti tertinggi ketika bertugas menjelang temasya Sukan SEA 2025 apabila Technical Delegate, Datuk Abdul Halim Kader (AHK), menyampaikan amanat penting dalam satu taklimat khas malam tadi.

Dalam pertemuan yang menghimpunkan semua pengadil dan pegawai teknikal (ITOs) itu, AHK menekankan bahawa kedudukan serta masa depan kedua-dua sukan tersebut banyak bergantung kepada ketepatan, disiplin dan komitmen mereka di gelanggang.

“Pengadil bukan sekadar menguatkuasakan undang-undang, tetapi penjaga maruah sukan. Jalankan tugas dengan penuh tanggungjawab,” tegasnya, sambil mengingatkan bahawa kesilapan tidak boleh berulang dan ketepatan masa menjadi lambang integriti pegawai pertandingan.

Menurut AHK, semua tugasan rasmi akan bermula sebelum jam 8.30 pagi bagi membentuk budaya kerja berprestasi tinggi dalam kalangan pengadil.

Taklimat itu turut menyentuh hala tuju pembangunan sukan di peringkat Asia, termasuk persiapan awal menjelang Nagoya Asian Games. AHK mendedahkan bahawa acara Hoop Takraw bakal dikaji semula, manakala sepak raga tuju akan diberikan perhatian khusus dari segi penyusunan teknikal. Chinlone pula dikekalkan dengan pelan pembangunan baharu tanpa menjejaskan identiti asalnya.

Beliau turut mengumumkan program mentorship selama sembilan hingga 12 bulan bagi melahirkan lebih ramai pengadil berpengalaman, sekali gus memperkukuh struktur teknikal sukan di rantau ini.

Amanat tersebut disifatkan sebagai lebih daripada sekadar arahan tugas; ia merupakan penegasan moral dan disiplin yang menyasarkan pengadil sebagai penjaga keadilan sukan Asia Tenggara.

Laporan ASTAF News Desk, SEA Games 2025 – Nakhon Pathom, Thailand.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *