Shamsul, Albert Tei Hadapi Pertuduhan Rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Hari Ini

KUALA LUMPUR – Bekas Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, bersama ahli perniagaan Albert Tei, dijadualkan menghadapi pertuduhan berkaitan rasuah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pagi ini.

Menurut maklumat daripada sistem mahkamah, sebutan kes melibatkan Shamsul Iskandar, 50, dan Tei, 37, ditetapkan berlangsung pada jam 9 pagi di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Perkara itu turut disahkan oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, yang semalam memaklumkan bahawa kedua-dua individu tersebut akan berdepan lima pertuduhan di Kuala Lumpur. Selain itu, satu lagi pertuduhan tambahan dijangka dikemukakan terhadap mereka di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat.

Pertuduhan melibatkan Seksyen 17(a) Akta SPRM, yang merujuk kepada kesalahan menerima suapan, serta Seksyen 17(b) bagi perbuatan memberi suapan. Siasatan terhadap mereka sebelum ini dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Shamsul Iskandar dan Tei direman selama enam hari bermula 29 November selepas permohonan SPRM untuk melengkapkan siasatan dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya.

Kes ini berkaitan dakwaan bahawa Albert Tei memberikan wang rasuah kepada Shamsul Iskandar sebagai usaha untuk mendapatkan semula sejumlah dana yang dipercayai telah diagihkan kepada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

Telegram: https://t.me/nasionaldaily

Facebook: https://www.facebook.com/nasionaldaily

TikTok: https://www.tiktok.com/@nasionaldaily?_t=8kyR2clR7Mv&_r=1

Iklan: admin@nasionaldaily.com / sales@nasionaldaily.com / 012-9222001

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *